Saman Rita Rudaini: Saksi akui tiada dokumen sokongan memo kepada MUAFAKAT Kebangsaan

Iklan
Rita Rudaini Mokhtar

KUALA LUMPUR – Saksi pertama pihak defendan dalam kes saman fitnah melibatkan Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan timbalannya, Dr. Saidah Haris @ Harith terhadap pelakon Rita Rudaini Mokhtar, bersetuju bahawa tiada dokumen sokongan dikemukakan bersama memo aduan berkaitan dakwaan kepincangan pengurusan persatuan itu.

Persetujuan itu diberikan oleh saksi, Azura Mat Nor, ketika disoal balas pada hari keenam perbicaraan kes berkenaan yang menyaksikan pihak defendan mula memanggil saksi mereka.

Iklan
Iklan

Ketika disoal mengenai memo aduan yang dikemukakan dalam prosiding, Azura bersetuju bahawa tiada lampiran bukti mahupun tandatangan ibu bapa yang menyokong memo berkenaan dalam dokumen yang diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh peguam defendan, beliau menjelaskan memo itu disediakan berdasarkan pelbagai isu yang menurutnya dibangkitkan oleh ibu bapa.

Iklan

Dalam prosiding sama, Azura turut membangkitkan satu pertemuan dengan pihak MUAFAKAT Kebangsaan dan menggunakan ungkapan bahawa pihak plaintif dikatakan tiba-tiba 'korner baring' dalam konteks pertemuan berkenaan.

Beliau turut memberikan komen, “Tup2 last min dia kona baringggg..” dengan merujuk kepada Yang Dipertua selaku plaintif pertama.

Iklan

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada mengetahui komunikasi antara MUAFAKAT MRSM Sungai Besar dengan pihak MUAFAKAT Kebangsaan, saksi mengakui tidak mengetahui perkara tersebut.

Saksi turut menyatakan kegagalan Yang Dipertua MUAFAKAT memberikan sebarang respons dalam satu kumpulan WhatsApp, pada pandangannya, menunjukkan plaintif tidak menyokong aktiviti pelajar untuk keluar mewakili sekolah.

Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Sungai Besar, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

Selain itu, Azura turut disoal mengenai beberapa kenyataan yang diterbitkan defendan yang didakwa berbentuk sarkastik atau menggunakan ungkapan keras terhadap plaintif.

Ketika ditanya mengenai penggunaan perkataan 'narsisis', saksi bersetuju bahawa perkataan itu boleh memberikan pandangan atau gambaran buruk terhadap plaintif.

Beberapa ungkapan lain yang menjadi pertikaian dalam saman berkenaan turut disentuh sepanjang prosiding, dengan makna dan kesannya tertakluk kepada penilaian mahkamah berdasarkan keseluruhan konteks serta keterangan yang dikemukakan.

Mengenai isu sumbangan dan pencarian dana, Azura menyatakan antara tugas plaintif adalah mendapatkan dana daripada sumber luar.

Bagaimanapun, ketika disoal balas, saksi bersetuju bahawa tiada dokumen dalam ikatan dokumen mahkamah yang menunjukkan plaintif banyak meminta wang daripada ibu bapa berbanding mendapatkan sumbangan daripada sumber lain.

Saksi turut ditanya mengenai kenyataannya berhubung program melibatkan pelajar yang didakwa dijalankan di luar tanpa surat kebenaran ibu bapa.

Ketika disoal mengenai program yang dimaksudkan, Azura bersetuju bahawa program berkenaan tidak ditunjukkan atau dikenal pasti dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.

Perubahan struktur PSG turut dipertikaikan

Isu perubahan struktur Parents Support Group (PSG) turut dibangkitkan ketika sesi soal balas.

Peguam plaintif mencadangkan kepada saksi bahawa tiada peraturan yang mensyaratkan perubahan struktur PSG perlu mendapat persetujuan rasmi ibu bapa terlebih dahulu.

Apabila diminta menunjukkan dokumen yang menetapkan keperluan berkenaan, saksi bersetuju tiada dokumen sedemikian dapat dikemukakan.

Peguam plaintif seterusnya mencadangkan bahawa tiada peraturan bertulis, peraturan tetap atau keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam ikatan dokumen mahkamah yang menetapkan perubahan struktur PSG mesti mendapat persetujuan ibu bapa.

Azura menjawab bahawa cadangan tersebut adalah betul.

Dalam pemeriksaan semula, peguam defendan meminta saksi menjelaskan kembali mengenai memo berkaitan dakwaan kepincangan MUAFAKAT MRSM Sungai Besar.

Azura menjelaskan terdapat pelbagai isu yang menurutnya dibangkitkan dalam kalangan ibu bapa sebelum perkara itu menjadi antara asas penyediaan memo berkenaan.

Pihak plaintif diwakili Datuk Adnan Seman daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates bersama Haris Md Nor, manakala Rita Rudaini diwakili Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan.

Dengan selesainya keterangan saksi pertama defendan, perbicaraan dijadualkan bersambung minggu hadapan dengan saksi-saksi defendan yang lain.

Mahkamah akan menilai keseluruhan keterangan, dokumen serta hujahan kedua-dua pihak sebelum membuat pertimbangan dan keputusan berhubung pertikaian tersebut.