SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti memancing di Desa Subang Perantau 2, Subang Perdana pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.28 petang.
"Seramai 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, bantuan BBP serta BBP Shah Alam bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 11 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ashrul Riezal berkata, pihaknya tiba di lokasi pada jam 3.40 petang sebelum mendapati mangsa warga Indonesia berusia 11 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama rakan-rakannya.
"Operasi pencarian kemudian dijalankan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam," katanya.
Beliau berkata, mangsa ditemukan di tebing sungai pada jam 5.20 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.