UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) mungkin terletak jauh di utara Semenanjung, dikelilingi oleh kehijauan Sintok, Kedah, tetapi pencapaiannya sudah lama melangkaui sempadan geografi.
Daripada sebuah universiti yang ditubuhkan pada 1984 dan berpindah ke kampus Sintok pada 1990, UUM hari ini berkembang sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang semakin menonjol dalam bidang pengurusan, perniagaan, ekonomi, perakaunan dan disiplin berkaitan.
Apa yang menjadikan UUM istimewa bukan sekadar saiz kampus atau keindahan alam semula jadinya. Kekuatan sebenar universiti ini terletak pada kemampuan membina satu ekosistem pendidikan yang menyatukan kecemerlangan akademik, kebolehpasaran graduan, jaringan industri, pengalaman antarabangsa dan kebajikan mahasiswa.
Pada sesi 2026/2027, jumlah keseluruhan pelajar UUM mencecah 29,030 orang, terdiri daripada 25,421 pelajar prasiswazah dan 3,609 pelajar pascasiswazah.
Bagi kemasukan baharu pula, seramai 4,982 pelajar diterima, termasuk 321 pelajar antarabangsa serta peserta mobiliti antarabangsa.
Ini menggambarkan bahawa UUM bukan lagi hanya destinasi pendidikan untuk anak-anak Malaysia, sebaliknya semakin mempunyai tarikan antarabangsa.
Kehadiran generasi baharu ini turut diraikan menerusi Bicara Santai Bersama Naib Canselor dan Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi A261 di Dewan Mu’adzam Shah pada petang Khamis, 17 September lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, menegaskan bahawa keputusan memilih UUM sebagai destinasi pengajian merupakan satu pilihan yang tepat, namun perjalanan mahasiswa tidak seharusnya berhenti pada pencapaian akademik semata-mata.
Pesanan beliau cukup jelas, iaitu kecemerlangan ilmu mesti bergerak seiring dengan pembentukan adab, etika, integriti dan nilai moral.
Universiti bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah, tetapi medan membentuk jati diri agar graduan yang dilahirkan mampu membawa imej dan nama baik UUM apabila kembali berkhidmat kepada masyarakat.
Program akademiknya juga terus menjadi pilihan. Antara program dengan kemasukan tertinggi ialah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian yang menerima 446 pelajar, diikuti oleh Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian seramai 259 pelajar dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian seramai 251 pelajar.
Namun begitu, ukuran sebenar sebuah universiti bukan berapa ramai pelajar yang diterima, tetapi sejauh mana graduannya diterima oleh dunia pekerjaan.
Dalam aspek ini, UUM mempunyai cerita yang sangat meyakinkan. Berdasarkan Talentbank Graduate Employability Index yang melibatkan kajian terhadap 1,200 majikan di seluruh negara, graduan UUM dikenal pasti mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Ini penting kerana universiti moden tidak boleh berfungsi sebagai “kilang ijazah”. Graduan mesti mampu memasuki dunia pekerjaan dengan kemahiran, kompetensi dan keyakinan yang diperlukan industri.
Hakikat inilah yang turut diberikan penekanan oleh Naib Canselor ketika bersama pelajar baharu. Dalam menghadapi persaingan alam pekerjaan yang semakin sengit, mahasiswa perlu mengambil inisiatif melengkapkan diri bukan sahaja dengan ilmu akademik, tetapi juga pengalaman, kemahiran insaniah dan pendedahan sebenar kepada dunia pekerjaan.
Sebab itu pendekatan UUM melalui School of Hard Knocks (SoHK) cukup menarik. Program kerjasama UUM-industri ini mendedahkan pelajar kepada dunia pekerjaan melalui pengalaman industri, bimbingan, pembangunan kemahiran dan persediaan kerjaya.
Ekosistem industri UUM turut memperlihatkan penglibatan nama-nama besar seperti Microsoft, Maybank, KPMG, Petronas, Shell, AIA, DHL dan beberapa organisasi utama lain. Ini memberi gambaran bahawa pembelajaran di UUM tidak terhenti di dalam bilik kuliah.
SoHK turut diketengahkan sendiri oleh Naib Canselor kepada pelajar baharu sebagai antara platform yang wajar dimanfaatkan sejak awal pengajian.
Mesejnya mudah tetapi penting, iaitu mahasiswa tidak seharusnya menunggu sehingga tahun akhir untuk memikirkan tentang kerjaya. Proses membina kebolehpasaran perlu bermula sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke universiti.
Dalam kerangka yang sama, beliau turut menggalakkan mahasiswa melibatkan diri dalam program kesukarelawanan.
Aktiviti sedemikian mungkin kelihatan tidak berkait secara langsung dengan keputusan peperiksaan, tetapi sebenarnya membina kepimpinan, empati, komunikasi, kemampuan bekerja dalam pasukan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Inilah elemen yang membezakan antara graduan yang sekadar berkelulusan dengan graduan yang benar-benar holistik.
Lebih membanggakan, pencapaian UUM turut diterjemahkan melalui pelbagai penarafan antarabangsa. Berdasarkan paparan QS World University Rankings by Subject 2026, Accounting & Finance UUM berada dalam kelompok 101–150 dunia dan nombor satu di Malaysia. Bidang Economics & Econometrics serta Business & Management Studies pula berada pada kedudukan 201–250 dunia.
Bidang lain seperti English Language & Literature, Law, Education, Mathematics serta Computer Science & Information Systems turut disenaraikan dalam kelompok antarabangsa masing-masing.
UUM juga berada dalam kelompok 401–500 Times Higher Education World University Rankings 2026 manakala dalam QS World University Rankings: Asia 2026, UUM mencapai kedudukan ke-65 terbaik di Asia.
Ini merupakan pencapaian signifikan bagi universiti yang pada asalnya dibangunkan dengan pengkhususan utama dalam bidang pengurusan.
Namun begitu, aspirasi UUM jelas tidak berhenti kepada kedudukan angka dan ranking. Dalam sesi soal jawab bersama pelajar baharu, Prof Dr Ahmad Martadha turut berkongsi harapan agar UUM terus mempertahankan dan memperkukuh kedudukannya sebagai universiti terkemuka, khususnya dalam bidang pengurusan.
Aspirasi itu akhirnya bergantung kepada seluruh warga universiti, termasuk mahasiswa yang bakal menjadi wajah dan duta UUM di luar kampus.
UUM juga memahami bahawa pendidikan universiti perlu membuka dunia kepada mahasiswa. Melalui 1-Semester Exchange Programme, pelajar diberi peluang menuntut selama satu semester di universiti rakan di negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand, China, Jepun, Korea, Perancis, Türkiye, Finland, Sepanyol, Romania, Poland dan Uzbekistan.
UUM turut menyediakan bantuan kewangan RM3,000 bagi negara ASEAN dan RM5,000 bagi negara lain, selain 500 mata merit.
Peluang pertukaran satu semester ini juga diberikan penekanan dalam Bicara Santai Naib Canselor. Mahasiswa digalakkan keluar daripada zon selesa, menimba pengalaman di universiti rakan antarabangsa, membina rangkaian merentasi negara dan mengenali sistem pendidikan serta budaya yang berbeza.
Pendedahan antarabangsa seperti ini mempunyai nilai yang sukar diperoleh hanya melalui kuliah di kampus sendiri.
Inilah bentuk pendidikan yang diperlukan pada abad ke-21, di mana mahasiswa bukan sahaja memperoleh kredit akademik tetapi belajar memahami budaya lain, membina jaringan antarabangsa dan melihat dunia daripada perspektif yang lebih luas.
Dalam masa yang sama, UUM tidak melupakan realiti kehidupan mahasiswa. Sebahagian besar pelajarnya datang daripada keluarga B40 menyebabkan aspek bantuan pendidikan dan kebajikan diberikan perhatian serius.
Melalui Ziarah Kasih Madani Pelajar Baharu UUM, universiti turun sendiri ke lapangan dari 28 Ogos hingga 14 September 2026 dan menziarahi 96 buah rumah di seluruh Malaysia bagi mengenal pasti keperluan pelajar serta keluarga yang memerlukan bantuan.
Bantuan turut disalurkan melalui dana Yuran Kebajikan dan sumbangan TH-IQRA di bawah Pusat Zakat dan Wakaf UUM.
Kemudahan fizikal universiti juga luas. UUM menyediakan 238 ruang pengajaran, terdiri daripada 160 bilik kuliah dan 78 dewan kuliah dengan kapasiti keseluruhan 19,535 orang.
Kampus ini turut menawarkan kemudahan seperti pusat sukan, kolam renang, padang, makmal, masjid, laluan riadah, kemudahan memanah malah padang golf 18 lubang.
Menariknya, pendekatan UUM terhadap pelajar baharu juga semakin interaktif dan dekat dengan generasi semasa.
Bicara Santai tersebut turut menyaksikan pelantikan serta penyerahan watikah kepada “Pengikut Bertuah Naib Canselor” dalam kalangan pengikut media sosial.
Walaupun kelihatan santai, pendekatan ini mencerminkan usaha kepimpinan universiti merapatkan jurang dengan mahasiswa melalui medium komunikasi yang dekat dengan kehidupan generasi digital.
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar itu kemudiannya diteruskan dengan Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi A261, merangkumi bacaan ikrar, penyerahan watikah kepada Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar serta gimik simbolik penerimaan mahasiswa baharu.
Ikrar tersebut bukan sekadar acara rasmi, tetapi satu permulaan kepada tanggungjawab baharu mereka sebagai sebahagian daripada komuniti UUM.
Semua ini membawa kepada satu kesimpulan iaitu kehebatan UUM tidak terletak pada ranking semata-mata. Ranking memberi pengiktirafan, tetapi kekuatan sesebuah universiti akhirnya ditentukan oleh manusia yang dilahirkannya.
UUM kini semakin berjaya membuktikan bahawa universiti yang hebat ialah universiti yang mampu menghasilkan graduan yang dikehendaki oleh majikan, mempunyai pengalaman global, dekat dengan industri tetapi pada masa yang sama tidak meninggalkan mahasiswa yang memerlukan bantuan.
Bicara Santai bersama pelajar baharu memperlihatkan bahawa hala tuju ini bukan sekadar terkandung dalam pelan strategik atau angka penarafan.
Ia sedang diterjemahkan secara langsung kepada mahasiswa sejak hari pertama mereka berada di kampus: belajar bersungguh-sungguh, menjaga adab dan integriti, merebut peluang industri, melibatkan diri dalam kesukarelawanan serta berani membawa diri ke pentas antarabangsa.
Sesuai dengan semangat “Menjulang Ilmu, Mengakar Adab”, UUM sedang membina sesuatu yang lebih besar daripada sebuah kampus di Sintok.
Daripada Dewan Mu’adzam Shah tempat mahasiswa baharu melafazkan ikrar, sehingga ke bilik kuliah, industri dan universiti rakan di luar negara, perjalanan itu mempunyai satu matlamat yang sama, iaitu melahirkan graduan berilmu, beradab, berdaya saing dan berwawasan global.
Ia sedang membina generasi yang membawa nama UUM ke organisasi, industri dan negara di seluruh dunia.
* Dr Kamarul Zaman Yusoff ialah Penyelaras Media di Jabatan Komunikasi Korporat, Universiti Utara Malaysia (UUM)