SELEPAS empat hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung, satu perkembangan politik semakin jelas. Berbanding pengalaman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan, penyelarasan antara kedua-dua pihak di Melaka kelihatan lebih tersusun sejak hari penamaan calon.
Sebelum kempen bermula, kepimpinan BN dan Pas telah memuktamadkan persefahaman untuk bergerak sebagai rakan strategik, termasuk penyelarasan kempen dan gerak kerja bersama.
Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sendiri memberikan isyarat jelas bahawa kedua-dua pihak akan bergerak bersama sepanjang PRN ini.
Perbezaan ini penting. PRN Melaka bukan sekadar pertandingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pilihan raya ini sedang menguji sama ada persefahaman yang dibentuk di meja rundingan mampu diterjemahkan kepada hubungan sebenar antara pemimpin, jentera, ahli parti dan akhirnya pengundi.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada UMNO dan Pas mampu duduk semeja, tetapi sejauh mana kedua-duanya benar-benar mampu bekerja sebagai satu pasukan.
Kerjasama yang semakin tersusun
Dalam beberapa hari pertama kempen, hubungan antara jentera BN dan Pas tidak memperlihatkan kekok yang ketara. Sebaliknya, gerak kerja bersama semakin terserlah menerusi program dan aktiviti kempen di lapangan.
Keadaan ini berbeza dengan Johor, apabila kerjasama masih bersifat sokongan taktikal di kerusi tertentu, manakala Negeri Sembilan menjadi percubaan yang lebih tersusun terhadap konsep vote transferability atau kebolehpindahan undi.
Melaka kini memperlihatkan satu tahap baharu apabila kedua-dua pihak turun berkempen dengan kefahaman bahawa mereka merupakan rakan strategik dalam pembentukan kerajaan negeri.
Di sinilah pendekatan Pas-PN juga berbeza. Pas tidak turun semata-mata sebagai blok pembangkang yang mahu menukar kerajaan. Sebaliknya, parti itu bergerak sebagai rakan strategik BN yang sedang mentadbir Melaka.
Justeru, antara cabaran utama Pas ialah menjelaskan mengapa penyatuan ini berlaku, apakah rasional politiknya dan bagaimana kerjasama tersebut boleh menyumbang kepada kestabilan negeri.
Penyatuan dua parti yang sekian lama bersaing tidak memadai dengan persetujuan pemimpin semata-mata, sebaliknya memerlukan penerimaan akar umbi.
Setakat ini, petunjuk pada peringkat organisasi menunjukkan hubungan kedua-dua pihak semakin tersusun. Namun, ukuran sebenar tetap terletak pada kesediaan penyokong satu parti memberikan undi kepada calon daripada parti rakan mereka.
Paya Rumput, Bukit Katil: Dua ujian besar Pas
Cabaran paling nyata kepada Pas tertumpu pada kerusi Paya Rumput dan Bukit Katil. Di Paya Rumput, calon Pas-PN, Rafie Ahmad, berhadapan dengan Datuk Azman Abidin daripada PH, yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.
Di Bukit Katil pula, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif berdepan dengan Datuk Seri Adly Zahari, Pengerusi PH Melaka, bekas Ketua Menteri Melaka dan kini Timbalan Menteri Pertahanan.
Kedua-dua kerusi ini membawa nilai politik yang besar kepada Pas kerana parti itu sudah lama tidak mempunyai wakil dalam DUN Melaka.
Kali terakhir Pas memenangi kerusi DUN ialah pada PRU13, pada 2013, apabila Md Khalid Kassim memenangi kerusi N.17 Bukit Baru dengan majoriti hanya 48 undi.
Kerusi Bukit Baru kemudiannya dinamakan semula sebagai Bukit Katil selepas proses persempadanan semula sebelum PRU14.
Namun, kekuatan Pas di Melaka juga tidak boleh dinilai berdasarkan keputusan DUN semata-mata. Dalam PRU15, Pas berjaya memenangi dua kerusi Parlimen, iaitu Tangga Batu dan Jasin.
Maka, ujian kali ini ialah sama ada peningkatan sokongan tersebut boleh diterjemahkan dalam pertandingan di peringkat DUN, lebih-lebih lagi apabila Pas turut mendapat sokongan jentera BN.
Dalam konteks inilah faktor pengundi muda menjadi semakin penting. PRN Melaka kali ini merupakan pilihan raya negeri pertama di Melaka yang benar-benar berhadapan dengan kesan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Hampir 190,000 pemilih baharu telah ditambah berbanding PRN terdahulu, merangkumi bukan sahaja pengundi muda, tetapi juga mereka yang sebelum ini tidak berdaftar sebagai pemilih.
Ab Rauf sendiri mengakui bahawa Undi18 dan pendaftaran automatik merupakan antara cabaran besar kepada BN dalam PRN kali ini.
Cabaran ini tidak boleh dipandang ringan. Analisis terhadap PRU15 menunjukkan PN mempunyai kedudukan relatif lebih kuat di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi berusia bawah 30 tahun yang tinggi.
Kajian ISEAS mendapati bahawa majoriti kerusi di Semenanjung Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pengundi berusia bawah 30 tahun dimenangi PN, diikuti PH dan kemudian BN.
Pengalaman di Johor juga menunjukkan terdapat hubungan positif, walaupun tidak terlalu besar, antara kehadiran pengundi muda dengan sokongan terhadap PN.
Ini tidak bermakna semua anak muda memilih PN. Pilihan politik generasi muda lebih cair dan dipengaruhi oleh calon, isu ekonomi, media sosial, identiti serta sentimen semasa.
Namun, data terdahulu cukup untuk menunjukkan bahawa pengundi muda tidak semestinya mempunyai keterikatan tradisional kepada BN.
Di sinilah wujud satu lagi ujian terhadap penyatuan BN-PN. Mampukah gabungan ini bukan sahaja memindahkan undi antara penyokong UMNO dan Pas, tetapi juga membina tawaran yang dapat diterima oleh generasi baharu yang kurang terikat kepada kesetiaan politik keluarga?
Ab Rauf, pengundi muda dan unsur saling percaya
Faktor Ab Rauf juga tidak boleh diketepikan. Sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi BN Melaka, beliau mempunyai kedudukan yang jelas dalam struktur BN negeri dan dilihat mempunyai penerimaan yang baik dalam kalangan sebahagian ahli BN serta masyarakat Melaka.
Walaupun belum terdapat tinjauan saintifik yang dapat mengukur tahap popularitinya secara tepat, kedudukannya sebagai penyandang jawatan Ketua Menteri serta sokongan kepimpinan pusat BN memberikan kestabilan kepada kempen gabungan tersebut.
“Aura” Ab Rauf sedikit sebanyak boleh membantu Pas mendekati segmen pengundi BN yang sebelum ini sukar ditembusi. Dalam konteks ini, personaliti dan penerimaan terhadap Ketua Menteri boleh berfungsi sebagai jambatan kepada proses kebolehpindahan undi.
Lebih penting, BN juga memberikan isyarat bahawa wakil PN yang menang boleh diberikan ruang untuk bersama-sama dalam pentadbiran negeri sekiranya kerjasama itu berjaya membentuk kerajaan.
Perkembangan ini menunjukkan hubungan BN-PN telah bergerak melangkaui sekadar perjanjian untuk mengelakkan pertembungan kerusi.
Apabila perbincangan sudah menyentuh kemungkinan berkongsi tanggungjawab dalam kerajaan, keadaan itu mewujudkan unsur saling percaya yang lebih besar.
Bagi Pas, perkembangan tersebut memberikan keyakinan bahawa penyertaannya bukan sekadar diperlukan ketika kempen. Bagi BN pula, kesediaan membuka ruang dalam pentadbiran menunjukkan bahawa PN mula diterima sebagai rakan strategik yang mempunyai peranan selepas pilihan raya.
Namun, kepercayaan pemimpin dan keharmonian jentera belum mencukupi. PRN ini turut melibatkan satu kelompok pengundi yang tidak semestinya terikat dengan sejarah hubungan UMNO-Pas, iaitu generasi muda.
Bagi sebahagian pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, persoalan lama tentang siapa pernah menjadi lawan atau rakan mungkin kurang penting berbanding isu pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan masa depan mereka.
Maka, cabaran sebenar penyatuan BN-PN mempunyai dua lapisan. Lapisan pertama ialah memastikan pengundi tradisional kedua-dua parti menerima calon daripada parti rakan masing-masing.
Lapisan kedua pula ialah meyakinkan pengundi baharu bahawa penyatuan ini mempunyai nilai yang relevan dengan kehidupan mereka, bukannya semata-mata formula politik antara dua parti.
Di sinilah kempen Melaka menjadi lebih menarik.
Setakat empat hari pertama kempen, hubungan antara BN dan PN kelihatan semakin tersusun, sementara tawaran untuk berkongsi tanggungjawab dalam pentadbiran memberikan isyarat bahawa kerjasama itu sedang diperkukuh.
Namun, ukuran akhirnya tetap terletak pada keputusan di peti undi.
*** Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa