KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Confidence and Supply Agreement (CSA) sebagai “pendekatan Dajjal pada akhir zaman” menimbulkan persoalan mengenai penggunaan istilah keagamaan dalam menilai sesuatu mekanisme kerjasama politik.
Kritikan terhadap dasar kerajaan merupakan hak demokratik setiap pemimpin dan rakyat.
Namun, mengaitkan sesuatu perjanjian politik dengan sifat Dajjal memerlukan asas agama, fakta dan penghujahan yang jelas, khususnya apabila ia membabitkan istilah keagamaan yang mempunyai pengertian tersendiri dalam Islam.
Perjanjian yang dimeterai pada 29 Oktober lalu melibatkan enam Ahli Parlimen BERSATU, termasuk presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang Ahli Parlimen MUDA dan enam Ahli Parlimen Bebas.
Mereka bersetuju menyokong kerajaan dalam perkara tertentu, termasuk Belanjawan 2027, dengan komitmen terhadap peruntukan pembangunan kawasan yang setara serta pelaksanaan reformasi institusi.
Persoalannya, mengapakah pendekatan yang pernah menjadi sebahagian daripada amalan politik Malaysia kini dikaitkan dengan Dajjal?
Jika diteliti, pada 13 September 2021, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH).
Kerajaan ketika itu turut dianggotai pemimpin Pas, termasuk Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Walaupun Memorandum Persefahaman berkenaan tidak sepenuhnya sama dengan CSA, kedua-duanya berkongsi prinsip kerjasama antara kerajaan dengan pembangkang bagi menjamin kestabilan politik serta melaksanakan pembaharuan.
Malah, pada 14 September 2021, Tuan Ibrahim secara terbuka menyambut baik Memorandum Persefahaman tersebut.
Beliau mengaitkannya dengan kepentingan negara ketika pandemik Covid-19 serta pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi antara prinsip perjuangan Pas.
Justeru, timbul persoalan mengenai asas perbezaan penilaian tersebut. Jika kerjasama rentas parti sebelum ini dianggap sebagai pendekatan matang, apakah prinsip yang menyebabkan kerjasama seumpama itu pada 2026 diberikan penilaian yang begitu berbeza?
Rekod pada 2024 turut memperlihatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) pernah terlibat dalam proses rundingan berkaitan MoU peruntukan kepada pembangkang.
Pada 15 September 2024, PN menolak cadangan tersebut bukan atas prinsip menolak MoU secara keseluruhan, sebaliknya kerana tidak bersetuju dengan beberapa syarat dalam draf yang dikemukakan kerajaan.
Perkembangan terbaharu turut menarik perhatian apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada 31 Oktober lalu secara terbuka menyokong pelaksanaan CSA dan mencadangkan supaya perjanjian itu diperluas kepada parti politik lain, termasuk pembangkang.
Ketika ditemui media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Alor Gajah, Ahmad Zahid menyifatkan CSA sebagai perkembangan positif yang membolehkan parti politik bekerjasama menangani permasalahan rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendekatan seumpama itu pernah dilaksanakan ketika pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.
Pendirian Ahmad Zahid ini turut membuka ruang kepada satu persoalan: Jika CSA dilihat sebagai mekanisme yang bermanfaat dan wajar diperluas, bagaimana pula pendirian tersebut diselaraskan dengan pandangan Abdul Hadi yang memberikan gambaran sebaliknya?
Persoalan yang sama boleh dikemukakan terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang pernah disertai Pas.
Perkara ini penting kerana prinsip yang dijadikan asas kepada sesuatu kritikan politik sewajarnya dinilai secara konsisten, tanpa mengira siapa yang memimpin kerajaan atau menyertai sesuatu perjanjian.
Isu ini menjadi lebih menarik apabila BN dan PN sendiri sedang bekerjasama menghadapi PRN Melaka pada 14 November 2026.
Pada 28 Oktober lalu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengesahkan kerjasama politik dengan Pas dan rakan-rakan PN, termasuk persetujuan untuk menyelaraskan jentera pilihan raya serta melancarkan manifesto bersama.
Jika kedua-dua gabungan mampu mencapai persefahaman dalam pembahagian kerusi, penyelarasan kempen dan pembentukan kerajaan negeri, perbezaan pendirian UMNO dan Pas mengenai CSA di peringkat Persekutuan juga wajar diperjelaskan.
Adakah pemimpin UMNO dan Pas telah membincangkan isu sepenting ini? Walaupun kerjasama pilihan raya tidak semestinya bermakna kedua-dua pihak perlu bersetuju dalam setiap dasar negara, perbezaan pandangan yang ketara sewajarnya ditangani melalui perbincangan dan penyelarasan pendirian.
Rakyat juga berhak memahami bagaimana satu pihak menyokong peluasan CSA atas alasan kepentingan rakyat, sedangkan rakan politik yang sedang bekerjasama dengannya memberikan penilaian berbeza terhadap mekanisme yang sama.
Kerjasama politik yang matang memerlukan kesepahaman terhadap prinsip asas, bukan sekadar persetujuan untuk menghadapi pilihan raya.
Penulis berpandangan bahawa cadangan Ahmad Zahid untuk memperluas CSA wajar dipertimbangkan demi memudahkan penyelesaian masalah rakyat merentasi perbezaan politik.
Atas asas yang sama, wakil rakyat PN yang belum menyertainya juga boleh mempertimbangkan rundingan dan penerimaan CSA, tertakluk kepada syarat yang adil, telus serta tidak menjejaskan kebebasan mereka sebagai pembangkang.
Sekiranya terdapat peruntukan yang dianggap tidak sesuai, pendekatan lebih konstruktif ialah mengemukakan pindaan dan cadangan balas.
Kepentingan pembangunan kawasan, kebajikan rakyat dan reformasi institusi sepatutnya menjadi keutamaan bersama.
Manfaat CSA juga tidak terhad kepada soal peruntukan kewangan. Sokongan terhadap Belanjawan 2027 dapat membantu memastikan kelancaran perbelanjaan negara, manakala komitmen untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya berpotensi memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
Dari sudut agama pula, mengaitkan CSA dengan Dajjal memerlukan penelitian yang lebih mendalam.
Istilah Dajjal tidak disebut secara langsung dalam al-Quran, sebaliknya perincian mengenai al-Masih al-Dajjal bersumberkan beberapa hadis sahih.
Menurut riwayat Muslim, al-Masih al-Dajjal digambarkan sebagai pendusta besar, bermata sebelah dan mempunyai tulisan kufur antara kedua-dua matanya.
Riwayat lain turut menjelaskan fitnahnya, termasuk dakwaan ketuhanan serta usaha memperdaya manusia melalui gambaran nikmat dan azab yang mengelirukan.
Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-161: Dajjal: Hakikat dan Tanda Akhir Zaman (2019) menegaskan bahawa al-Masih al-Dajjal merupakan seorang manusia sebenar yang kemunculannya pada akhir zaman diterangkan melalui hadis sahih, bukannya sekadar simbol kejahatan.
Sementara itu, Al-Afkar #109: Dajjal Seorang atau Ramai? (2020) membezakan al-Masih al-Dajjal dengan penggunaan istilah dajjal secara umum yang merujuk kepada golongan pendusta dan penipu.
Berdasarkan penjelasan tersebut, mengaitkan sesuatu perjanjian politik seperti CSA dengan pendekatan Dajjal memerlukan penghujahan yang jelas mengenai unsur pendustaan, penipuan atau penyelewengan yang didakwa wujud dalam perjanjian berkenaan.
Persoalannya, apakah unsur pendustaan, penipuan atau penyelewengan yang dimaksudkan dalam CSA tersebut?
Justeru, CSA seharusnya dinilai berdasarkan kandungan perjanjian, ketelusan pelaksanaan dan manfaatnya kepada rakyat, bukannya semata-mata melalui analogi keagamaan yang boleh menimbulkan salah faham.
Mengaitkan rundingan peruntukan dengan fitnah akhir zaman berisiko mengalihkan perbahasan daripada penelitian fakta kepada sentimen keagamaan, sedangkan perkara yang lebih penting ialah menjelaskan bagaimana komitmen terhadap reformasi institusi dan pembangunan kawasan boleh dianggap bercanggah dengan prinsip Islam.
Dalam hal ini, pemimpin dan pihak yang menasihati Abdul Hadi juga wajar mengambil kira tuntutan akhlak Islam dalam penggunaan bahasa ketika mengkritik pihak lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (Surah al-Hujurat, 49:11).
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Bukanlah sifat orang beriman itu suka mencela, melaknat, berkata keji dan berkata kotor.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1977).
Dalam konteks Malaysia, setiap pemimpin politik mahupun rakyat biasa wajar sentiasa berhati-hati dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan, khususnya yang melibatkan penghinaan, provokasi serta penggunaan istilah keagamaan yang sensitif.
Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu kebebasan mutlak tanpa batasan. Negara mempunyai peruntukan undang-undang bagi menangani penyalahgunaan kebebasan tersebut, khususnya apabila sesuatu kenyataan melampaui batas kritikan yang sah sehingga berpotensi mencetuskan permusuhan, menjejaskan keharmonian masyarakat atau mengganggu ketenteraman awam.
Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagaimana dipinda pada 2025, misalnya memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang bersifat jelik melampau (grossly offensive), antara lain dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu seseorang.
Peruntukan ini menunjukkan bahawa komunikasi dalam talian, termasuk kenyataan politik, tidak terkecuali daripada penelitian undang-undang sekiranya memenuhi unsur kesalahan yang ditetapkan.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan kesalahan apabila seseorang dengan sengaja menghina individu lain sehingga menimbulkan provokasi, dengan niat atau pengetahuan bahawa provokasi tersebut berkemungkinan menyebabkan individu berkenaan mengganggu keamanan awam atau melakukan kesalahan lain.
Justeru, penggunaan ungkapan yang menghina atau berunsur provokasi, lebih-lebih lagi oleh pemimpin yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, sewajarnya diberikan perhatian serius.
Kesimpulannya, CSA boleh diperdebatkan dan dikritik, khususnya berkaitan kesaksamaan agihan peruntukan, kebebasan pembangkang dan ketelusan pelaksanaannya.
Namun, prinsip keadilan dan konsistensi politik menuntut Pas menjelaskan mengapa pendekatan kerjasama rentas parti yang pernah disambut baik ketika parti itu berada dalam kerajaan kini diberikan penilaian yang begitu berbeza.
Lebih-lebih lagi apabila rakan kerjasama politiknya sendiri, UMNO, secara terbuka menyokong peluasan CSA demi kepentingan rakyat.
Perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggunakan istilah keagamaan yang begitu berat sehingga berpotensi menimbulkan prasangka dan perpecahan.
Politik yang benar-benar berteraskan amanah, keadilan dan nilai Islam sewajarnya diukur melalui kejujuran dalam berhujah, konsistensi pendirian, keberkesanan reformasi serta manfaat yang diterima rakyat, bukannya melalui penggunaan istilah keagamaan yang boleh mengundang perpecahan.
*Prof Dr Rusdi Omar ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).