Remaja warga asing ditahan, dadah 25.95kg bernilai RM1.29 juta dirampas

Iklan
Ab Rahaman menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Kluang, 13 September lalu.

JOHOR BAHRU - Remaja lelaki warga Indonesia berusia 18 tahun ditahan bersama 25.95 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu dan heroin bernilai RM1.29 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata suspek yang tinggal lebih masa di negara ini dan berperanan sebagai penjaga stor penyimpanan dadah ditahan polis dalam serbuan di Jalan Delima, Taman Lian Seng, Kluang, pada 13 September lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, rumah berkenaan disewa tanpa sebarang kontrak perjanjian dan dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Suspek warga asing yang dipercayai mengedar dadah diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kluang.

Iklan

"Pihak polis menjumpai lapan peket plastik disyaki mengandungi syabu dengan berat 8.11kg dan 38 peket plastik disyaki mengandungi heroin dengan berat 17.84kg.

"Suspek dipercayai terbabit dengan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu, dengan dalang sindiket masih diburu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, suspek mempunyai pasport dan masuk ke Malaysia secara sah, namun sudah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Ab Rahaman berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek kini direman tujuh hari bermula 14 September lalu sehingga Ahad ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.