Representasi Zamri Vinoth ditolak, bicara mula April tahun depan

Iklan
Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth bagi mengkaji semula pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Ia berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Februari lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan Jumaat untuk keputusan berhubung representasi berkenaan.

“Bagaimanapun, representasi yang dikemukakan oleh Zamri telah ditolak,” katanya ketika prosiding.

Iklan

Peguam, Nur Shafiqah Shafiyah Omar yang mewakili Zamri atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Majistret, Faezahnoor Hassan menetapkan 21 dan 22 April tahun hadapan untuk perbicaraan kes berkenaan.

Iklan

Ketika ditemui selepas prosiding, Nur Shafiqah Shafiyah berkata, representasi dikemukakan bagi membolehkan pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan sekiranya terdapat kebarangkalian untuk penurunan pertuduhan atau lain-lain tindakan.

“Apabila permohonan ditolak, kami akan teruskan dengan perbicaraan,” katanya.

Sementara itu, Zamri pula meluahkan rasa syukur dan melihat keputusan berkenaan dari sudut positif.

Menurutnya, prosiding di mahkamah memberi ruang kepadanya untuk menjelaskan secara terbuka isu berkaitan perhimpunan GARAH.

“Apabila representasi ditolak, ini bermakna saya ada peluang untuk menjelaskan mengenai perhimpunan GARAH supaya rakyat dan masyarakat faham apa perjuangan yang sedang kita bawa.

“Walau apa pun keputusan, kita akan tetap berdiri bersama kedaulatan undang-undang dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, aktivis itu didakwa membuat kenyataan terbabit, yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kenyataan tersebut dibuat di akaun Facebooknya ‘Zamri Vinoth’ pada jam 12.22 tengah hari pada 3 Februari lalu, kemudian dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun, di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tunku Abdul Rahman, Dang Wangi di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.