Anggota tentera didakwa sepak anak usia 5 tahun di restoran

Iklan
Polis membawa Mohamed Nisa (kanan) menuju ke bilik mahkamah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seorang koperal tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyepak anak perempuannya di sebuah restoran di sini Jumaat lalu.

Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan, didakwa dengan cara menyepaknya menggunakan kaki.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Kuala Krai di sini pada jam 10.55 malam pada 11 September lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohamed Nisa (kanan) dikawal polis keluar dari lokap mahkamah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta beberapa syarat tambahan.

Antara syarat ditetapkan ialah tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh yang berkhidmat dalam tentera selama 19 tahun itu masih mempunyai kira-kira dua tahun lagi tempoh perkhidmatan.