KLANG - “Berdasarkan bentuk badan dan pakaian, itu memang arwah Shahril.”
Demikian kata Shahdan Samsuri, 41, selepas kakaknya yang juga isteri kepada Allahyarham Mohd Shahril Abdul Rahman, 43, mengecam mayat yang ditemukan di perairan Perak pada Rabu.
Menurut Shahdan, pengecaman awal dibuat berdasarkan pakaian serta bentuk badan mangsa menerusi gambar yang diberikan pihak berkuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mayat dipercayai pemancing hilang ditemukan memakai jaket keselamatan, diikat pada tong
SAR pemancing hilang diperluas ke sempadan Selangor-Perak
“Selain itu, dia turut mengenali bentuk telinga yang sedikit runcing pada bahagian bawah cuping serta bentuk badan arwah. Berdasarkan gambar, jenazah berada dalam keadaan terlungkup,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Sementa, di sini, pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mayat yang dipercayai Allahyarham Mohd Shahril ditemukan nelayan di perairan Perak pada pagi Rabu dalam keadaan terikat pada sebuah tong, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan antara tiga pemancing yang masih belum ditemui selepas keluar memancing dari Jeti Sementa bersama rakan-rakannya.
Dua lagi pemancing yang masih dicari ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamud, 49.
Mereka dipercayai keluar memancing menuju ke kawasan berhampiran rumah api di One Fathom Bank pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong berjaya ditemukan nelayan pukat tunda di perairan berhampiran Sekinchan selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang.
Shahdan berkata, pengecaman secara bergambar akan dilakukan sekali lagi di Hospital Shah Alam selepas mayat berkenaan dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya.
“Berlaku sedikit kelewatan kerana menunggu air laut pasang bagi membolehkan bot pergi ke jeti.
“Jenazah dijangka diuruskan di hospital berkenaan selepas proses bedah siasat selesai. Bagaimanapun, urusan pengebumian akan ditentukan keluarga sama ada di Jalan Kebun atau Keratong, Pahang,” katanya.
Allahyarham yang bekerja sebagai penyelia pengiklanan di sebuah syarikat meninggalkan tiga anak yang masih bersekolah, terdiri daripada dua lelaki berusia 17 dan 11 tahun serta seorang perempuan berusia 15 tahun.
Menurut Shahdan, Allahyarham merupakan seorang yang gemar memancing dan keluar bersama rakan-rakannya pada Ahad lalu untuk mencari ikan cencaru.
“Pada Ahad lalu, dia sepatutnya sudah pulang ke rumah pada sebelah petang, namun abang sulung yang tinggal di kawasan sama di Jalan Kebun memaklumkan pada malam kejadian bahawa arwah masih belum pulang dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Kakak saya juga ada memberitahu bahawa sebelum keluar memancing, dia meminta suaminya supaya tidak pergi kerana keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari sebelum kejadian,” katanya.