Suasana hiba di jeti, keluarga buat pengecaman mayat pemancing

Iklan
Beberapa ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan sebak proses pengecaman berkenaan.

KLANG - Suasana hiba menyelubungi sekitar Jeti Nelayan Sementa di sini pada Rabu apabila ahli keluarga melakukan proses pengecaman menerusi gambar terhadap mayat salah seorang daripada tiga pemancing yang masih hilang.

Beberapa ahli keluarga dilihat tidak dapat menahan sebak proses pengecaman berkenaan, manakala petugas turut dilihat membantu menenangkan mereka.

Iklan
Iklan

Sinar Harian difahamkan proses pengecaman dilakukan pihak polis selepas mayat berkenaan ditemukan di perairan sempadan Selangor dan Perak pada Rabu.

Proses pengecaman dilakukan pihak polis selepas mayat berkenaan ditemukan di perairan sempadan Selangor dan Perak pada Rabu.

Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sebuah bot nelayan di kawasan Hutan Melintang, Perak.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan dan diikat pada sebuah tong.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank pada Ahad dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.

Antara ahli keluarga yang hadir di Jeti Nelayan Sementa untuk melakukan proses pengecaman.

Empat daripada tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang kemudian ditemukan selamat pada Selasa.

Mereka dikenal pasti sebagai Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, Muhd Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.

Dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Suasana sekitar Jeti Nelayan Semantan pada Rabu.

Bagaimanapun, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan iaitu Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.

Proses mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa masih diteruskan oleh pasukan keselamatan dan agensi berkaitan.