Wanita cedera parah di muka, besi pengadang tembusi Myvi

Iklan
Kereta dipandu mangsa terbabas sebelum melanggar besi pengadang yang menembusi kenderaannya. Foto: JBPM Melaka.

ALOR GAJAH – Seorang wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian muka selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan yang menembusi kenderaan tersebut dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning di sini pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 3.23 petang itu turut melibatkan ibu mangsa berusia 56 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Iklan
Iklan

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Tc. Zulkhairani Ramli berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Anggota bomba beri rawatan awal kepada mangsa sebelum menyerahkan kepada pasukan perubatan KKM. Foto: JBPM Melaka.

Iklan

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 3.34 petang bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan operasi di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang terbabas.

Iklan

“Mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan awal dan tindakan lanjut, manakala ibunya hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 3.48 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.56 petang.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan keadaan mangsa berlumuran darah pada bahagian muka selepas kemalangan tersebut.

Mangsa dan ibunya dilihat masih berada di dalam kenderaan, manakala besi pengadang jalan turut kelihatan menembusi bahagian hadapan kereta berkenaan.