Wayang pacak himpunkan 130 penduduk di laman kupang

Iklan
Suasana santai 130 penduduk menikmati tayangan filem Bukit Kepong menerusi program Wayang Pacak di Laman Kupang, Sungai Balang Laut, Muar.

MUAR – Seramai kira-kira 130 penduduk berkumpul di Laman Kupang, Sungai Balang Laut di sini untuk menyaksikan tayangan filem Bukit Kepong menerusi program Wayang Pacak.

Pengasas YouthLabs Social Hub, Kamariah Shakirin Mustafa berkata, program yang diadakan menjelang sambutan Hari Malaysia itu berlangsung dalam suasana santai di kawasan jeti.

Iklan
Iklan

"Pemilihan Bukit Kepong dibuat bersama komuniti sebagai usaha memberi peluang kepada generasi muda menghayati sejarah negara dalam suasana berbeza.

“Hari Malaysia adalah masa untuk kita mengingati dari mana kita datang dan mereka yang telah mendahului kita,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Program berkenaan dijayakan Ketua Kampung Sungai Gersik, Tok Syahroni Dulah Hussein dengan kerjasama Penghulu Mukim Sungai Balang, Pejabat Penerangan Daerah Muar, JPKK Sungai Gersik, YouthLabs Social Hub, Persatuan Nelayan Sungai Balang Laut, RDC Muar serta komuniti setempat.

Wayang pacak di tepi jeti, sambil mengimbau sejarah negara.

Menurut Kamariah, idea Wayang Pacak itu tercetus selepas menyedari Muar tidak mempunyai pawagam, sekali gus mendorongnya membawa pengalaman menonton filem terus kepada komuniti.

Iklan

Katanya, program berkenaan turut bertujuan menghidupkan ruang sedia ada dalam komuniti tanpa memerlukan pembinaan kemudahan baharu, selain menggalakkan interaksi antara penduduk pelbagai peringkat usia.

“Kadang-kadang kita hanya perlu melihat apa yang sudah ada dan membawa masyarakat bersama-sama di ruang tersebut,” katanya.

Suasana program turut dimeriahkan dengan aktiviti barbeku apabila penduduk membakar kupang, ikan dan ayam, selain membawa juadah dari rumah untuk dikongsi bersama.

Tayangan di Sungai Balang itu merupakan Wayang Pacak pertama menerusi siri ‘Muo for Muar’ yang diperkenalkan Kamariah, dengan beberapa tayangan seterusnya dirancang di komuniti dan lokasi lain di seluruh Muar.

Siri berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha YouthLabs Social Hub dalam pemerkasaan belia, penglibatan sivik dan inisiatif komuniti, selain mengetengahkan masyarakat, warisan serta potensi Muar.