Suami isteri warga Vietnam diberkas jadi ejen haram tawar khidmat imigresen

Iklan
JIM memberkas pasangan suami isteri warga Vietnam dalam operasi pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri warga Vietnam diberkas kerana dipercayai menjalankan kegiatan sebagai ejen haram dengan menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen kepada warga asing, dengan bayaran mencecah RM12,000 bagi setiap individu.

Pasangan berusia 34 tahun itu ditahan dalam Op Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kediaman di Jalan Bemban, Ampang dekat sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan.

“Seorang kanak-kanak lelaki warga Vietnam berusia 10 bulan yang dipercayai anak kepada pasangan tersebut turut ditemui bersama mereka.

Iklan

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pasukan operasi menyita tujuh pasport Vietnam serta lima cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihaknya turut menyita sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis, beberapa borang pengesahan kewarganegaraan Vietnam serta borang permohonan pasport negara itu.

Iklan

“Sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut turut disita bagi membantu siasatan,” katanya.

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan imigresen khusus untuk warga Vietnam.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas dan tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di depot imigresen.

“Bayaran yang dikenakan boleh mencecah sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan tersebut dipercayai aktif sejak tahun lalu.

Menurutnya, semakan awal mendapati lelaki berkenaan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA).

“Kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan itu pula didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Zakaria berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Isterinya pula ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kes turut disiasat berkaitan status kanak-kanak terbabit di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, JIM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu serta dokumen dan peralatan lain yang dirampas bagi mengenal pasti modus operandi kegiatan tersebut dan kemungkinan penglibatan pihak lain.