SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, atas alasan tidak waras.
Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan berjaya membuktikan elemen ketidakwarasan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan ketika kejadian.
Peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong berkata, mahkamah turut memerintahkan anak guamnya dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan.
“Mahkamah menerima hakikat bahawa penama tidak waras pada tarikh dan masa kejadian.
“Justeru, Seksyen 84 Kanun Keseksaan berjaya dibuktikan dan pihak pendakwaan gagal menyangkalnya,” katanya selepas prosiding, hari ini.
Menurut Kitson, pakar psikiatri Dr Ian Lloyd dari Hospital Bahagia Ulu Kinta turut mengesahkan remaja berkenaan mengalami skizofrenia.
Katanya, isu utama sepanjang perbicaraan bukan sama ada remaja itu melakukan perbuatan fizikal yang menyebabkan kematian mangsa, sebaliknya keadaan kewarasannya ketika kejadian.
Seramai 11 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan, manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk remaja berkenaan dan Dr Ian Lloyd.
Kitson berkata, hakim turut mengingatkan remaja itu bahawa dia telah meragut satu nyawa dan perkara itu merupakan sesuatu yang amat serius.
“Mahkamah mengingatkannya supaya tidak sesekali mengambil mudah kebebasan dan peluang kedua yang diberikan kepadanya serta sentiasa mengingati nyawa yang telah diragut,” katanya.
Remaja itu akan dihantar ke hospital psikiatri untuk menjalani rawatan termasuk pemberian ubat dan kaunseling sebelum penilaian lanjut dibuat mengenai tahap kesediaannya untuk kembali ke masyarakat. - Awani