Op Samseng Jalanan: 124 motosikal disita, 10 individu ditahan

Iklan
124 motosikal disita dalam operasi yang dijalankan pada Ahad. Foto IPD SPT

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 124 motosikal disita manakala 10 individu ditahan dalam Op Motosikal Bersepadu (Samseng Jalanan) yang dijalankan di Jalan Permatang Pauh, Seberang Jaya, di sini pada Ahad.

Operasi berkenaan dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, EMPV Bukit Aman serta dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah SPT, Polis Bantuan PLUS dan Jabatan Alam Sekitar.

Iklan
Iklan

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah SPT, operasi yang dijalankan berhampiran susur keluar Permatang Pauh, Lebuhraya Utara-Selatan itu menyasarkan kegiatan samseng jalanan dan lumba haram yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi berkumpul serta melakukan aktiviti berbahaya khususnya pada hujung minggu.

"Dalam operasi berkenaan, sebanyak 371 motosikal diperiksa manakala 639 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Iklan

"Selain itu, polis turut menyita 124 motosikal dan menahan lapan individu mengikut Seksyen 42(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dua lagi individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan media dalam hantaran Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah SPT pada Ahad.

Tambah kenyataan itu lagi, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi termasuk menunggang motosikal pada kelajuan tinggi, melawan arus dan melakukan aksi berbahaya seperti 'wheelie'.

Iklan

"Penggunaan ekzos yang diubah suai sehingga menghasilkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya turut dikesan.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan, lumba haram atau kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya," katanya.

Ibu Pejabat Polis Daerah SPT berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

"Polis menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga supaya memainkan peranan dengan memastikan golongan remaja tidak terlibat dalam aktiviti berbahaya yang boleh mengundang kemalangan, kecederaan malah kehilangan nyawa," katanya.