KUALA LUMPUR - Ahli keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak dibenarkan tinggal bersama bekas Perdana Menteri itu sepanjang beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor sebaliknya dipercayai akan menetap di kediamannya di Pavilion sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta yang diwartakan sebagai penjara tertakluk kepada peraturan seperti institusi penjara.
"Tidak boleh dan rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tidak ada dalam itu.
Beliau menjelaskan perkara itu selepas pengguna media sosial itu bertanyakan sama ada ahli keluarga termasuk cucu dibenarkan melawat Najib sekiranya beliau menjalani tahanan rumah.
Pengguna berkenaan turut mengajukan persoalan sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan itu boleh mendapatkan makanan menerusi perkhidmatan penghantaran makanan sekiranya tidak dibenarkan keluar dari kediaman.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, ahli keluarga yang ingin melawat perlu mematuhi waktu lawatan ditetapkan pihak berkuasa seperti prosedur di penjara.
"Makanan minuman semua penjara yang tentukan," katanya.