BANGKOK – Loket azimat Buddha bernilai tinggi yang pernah dipakai Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul kembali menjadi perhatian selepas ketua sami yang menghasilkan azimat berkenaan terpalit skandal penipuan dan seks.
Foto Anutin memakai loket tersebut kembali tular di media sosial ketika ketua sami berkenaan dilucutkan status sebagai sami sebelum ditahan atas dakwaan penyelewengan.
Foto itu dirakam pada Oktober 2023 ketika Anutin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen Parti Bhumjaithai menonton filem komedi seram popular, The Undertaker, lapor media tempatan ThaiRath.
Dalam foto tersebut, Anutin turut menunjukkan loket berkenaan kepada pemberita dan menyifatkannya sebagai antara contoh ‘soft power’ Thailand.
Loket itu merupakan edisi emas Jatukam Ramathep 2006 daripada siri koleksi Nuea Duang yang bermaksud ‘Meningkatkan Nasib’.
Dihasilkan di Wat Phutthaisawan, Ayutthaya, loket berkenaan merupakan antara azimat yang jarang ditemui dan dianggarkan bernilai sekitar 3 juta baht (RM369,355).
Azimat Buddha seumpama itu popular dalam kalangan pengikut dan pengumpul di Thailand, dengan sesetengah pemilik mempercayainya mampu membawa tuah, kekayaan serta meningkatkan kedudukan sosial.
Kemunculan semula foto Anutin memakai loket berkenaan berlaku ketika ketua sami itu menjadi perhatian susulan skandal yang membawa kepada pelucutan status sami dan penahanannya.
Perkembangan tersebut mencetuskan semula perhatian pengguna media sosial terhadap loket berkenaan, termasuk nilai serta kaitannya dengan ketua sami yang kini berdepan dakwaan penyelewengan. - Agensi