Gempa bumi magnitud 6.5 berlaku berhampiran Jakarta, gegaran dirasai di Jawa, Sumatera

Iklan
Gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda berhampiran Kepulauan Seribu, Jakarta awal pagi Sabtu, dengan gegaran dirasai di ibu negara Indonesia itu dan di bahagian Jawa dan Sumatera. Gambar hiasan

JAKARTA - Gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda berhampiran Kepulauan Seribu, Jakarta awal pagi Sabtu, dengan gegaran dirasai di ibu negara Indonesia itu dan di bahagian Jawa dan Sumatera.

Pengarah Gempa dan Tsunami Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Dr Wijayanto berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 4.23 pagi waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pusat gempanya adalah di Laut Jawa, 69 kilometer timur laut Kepulauan Seribu, Jakarta, pada kedalaman 368 kilometer.

"Dengan mengambil kira lokasi pusat gempa dan kedalaman hipopusatnya, gempa bumi itu merupakan gempa bumi dalam yang disebabkan oleh aktiviti intraslab," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pemodelan tsunami tidak menunjukkan ancaman.

Iklan

Gempa bumi itu berlaku kurang 10 jam selepas gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda Laut Banda di timur Indonesia pada jam 6.56 petang Jumaat.

Wijayanto berkata, gegaran paling kuat daripada gempa bumi itu dilaporkan di bahagian Banten dan Jawa Barat, serta Tanggamus di selatan Sumatera, dan gegaran itu cukup kuat untuk dirasai di dalam rumah dan boleh menyebabkan tingkap dan pintu bergegar.

Iklan

Beliau berkata, gegaran itu juga jelas dirasai di dalam rumah di Tanjung Priok, Jakarta dan beberapa kawasan lain, manakala gegaran yang lebih lemah dilaporkan sehingga Yogyakarta dan Malang di Jawa, dan Padang dan Kepulauan Mentawai di barat Sumatera.

Antara kawasan melaporkan gegaran paling kuat ialah Pandeglang di Banten, yang terletak di sepanjang Selat Sunda berhampiran Anak Krakatau, di mana aktiviti letusan bermula minggu lepas.

Bagaimanapun, Wijayanto berkata, gempa bumi pada Sabtu itu berpunca daripada tektonik, dengan BMKG melaporkan tiada gegaran susulan setakat jam 5 pagi.

Sementara itu, KAI Commuter dalam catatan media sosial berkata, perkhidmatan Laluan Komuter dihentikan buat sementara waktu berikutan gempa bumi bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh landasan kereta api.

Menurut syarikat itu, perkhidmatan di laluan Bogor, Cikarang, Rangkasbitung dan Tanjung Priok disambung semula selepas pemeriksaan selesai pada 5.26 pagi, diikuti laluan Tangerang pada 5.45 pagi. - Bernama