Peti besi misteri tersembunyi dalam rumah agam bekas Presiden Paraguay

Iklan
Pasukan penyiasat memeriksa seluruh rumah agam itu yang dianggarkan bernilai AS$2 juta (RM8.12 juta). - Foto AFP

ASUNCION - Pihak berkuasa menggeledah kediaman bekas Presiden Paraguay dipecat, Santiago Pena sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung krisis perbankan yang membawa kepada penyingkiran dan pendakwaan jenayah terhadapnya.

Pendakwa raya mengesahkan rumah agam milik Pena di bandar San Bernardino berhampiran ibu kota Asuncion diserbu pada Ahad sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kejatuhan Ueno Bank.

Iklan
Iklan

Media tempatan melaporkan pasukan polis turut menemui laluan rahsia di salah sebuah bilik kediaman itu.

Pemeriksaan awal mendapati pintu tersebut dilengkapi kawalan keselamatan berlapis yang memerlukan kata laluan digital dan pengesahan biometrik untuk dibuka.

Iklan

Peti besi didakwa buatan Israel yang tersembunyi di sebalik dinding palsu itu dilengkapi sistem canggih termasuk teknologi pengimbas iris mata.

Kandungan peti besi itu masih menjadi tanda tanya selepas pihak berkuasa gagal membukanya.

Iklan

Menurut dokumen pertuduhan, beliau didakwa memperoleh dua pinjaman daripada Ueno Bank berjumlah kira-kira AS$500,000 (RM2.03 juta) pada 2024 bagi membiayai pembinaan kediaman mewah tersebut.

Dokumen itu turut menyatakan bayaran pinjaman perumahan bulanan beliau mencecah AS$38,000 (RM154,329) iaitu enam kali ganda daripada gaji bulanannya sebagai Presiden.

Minggu lalu, pihak berkuasa mengambil alih Ueno Bank, sebuah bank dalam talian popular yang mempunyai akaun hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk negara Amerika Selatan itu dan menyimpan lebih AS$800 juta (RM3.25 bilion) dana kerajaan.

Menurut pihak pendakwaan, bank itu menerima deposit daripada institusi kerajaan, namun pada masa sama menyalurkan pinjaman meragukan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan pihak pengurusannya.

Kejatuhan institusi kewangan itu mencetuskan kejutan di seluruh negara yang sebelum ini dianggap stabil dan mencetuskan bantahan orang ramai.

Krisis tersebut turut membawa kepada pemecatan Pena yang kini ditahan di sebuah kemudahan tentera selepas didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk menyalurkan jutaan dolar dana kerajaan kepada Ueno Bank.

Sebelum ini, Pena didakwa memiliki saham dalam Ueno Holding, syarikat induk bank berkenaan sebelum menjual kepentingannya tahun lalu.

Beliau turut didakwa menyembunyikan atau meremehkan masalah kewangan bank itu walaupun telah diberi amaran mengenai penyaluran pinjaman meragukan dan risiko kegagalan bank itu memenuhi komitmen kewangannya. - Agensi