SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti laporan terkini yang diterbitkan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, berkaitan penyalahgunaan model AI Claude.
MCMC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya mengambil maklum laporan berkenaan dan memandang serius perkara yang dibangkitkan.
Menurut MCMC, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan itu bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya berkenaan.
“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Laporan Anthropic bertajuk Detecting and Countering Misuse of AI: September 2026 antara lain melaporkan pelbagai percubaan penyalahgunaan model AI Claude bagi aktiviti siber dan operasi pengaruh.
Antara perkara yang dilaporkan ialah operasi manipulasi pilihan raya yang menyasarkan Malaysia dan dikaitkan Anthropic dengan syarikat teknologi dari Turkiye, BBS Bilisim Teknolojileri.
Menurut laporan itu, operasi berkenaan membabitkan penggunaan akaun palsu dan portal berita rekaan.
MCMC berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar dan memahami konteks isu yang dibangkitkan.
“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawabnya.
“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” tambah kenyataan itu.