UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat meneroka peluang kerjasama dalam teknologi halal dengan Vietnam terutamanya dalam proses pengeluaran sijil halal yang menepati kriteria sepenuhnya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bertitah, dengan kepakaran penyelidikan yang dimiliki, universiti itu melihat potensi kerjasama dalam bidang teknologi, standard serta pembangunan industri halal yang boleh dilaksanakan secara praktikal bersama rakan strategik di Vietnam.
Baginda bertitah demikian semasa menerima mengadap Pengarah Vietnam Halal Certification Authority (Halcert) Ramlan Osman di Da Nang baru-baru ini.
Baginda bertitah, program di Jepun hasil inisiatif Timbalan Naib Cancelor UniMAP (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar dan pasukan beliau itu melibatkan pelajar Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Kejuruteraan Kimia seperti program teknologi makanan.
"Berdasarkan pengalaman di Jepun, adalah diharapkan perkongsian kepakaran yang sama boleh dilaksanakan di sini (Vietnam)," titah baginda.
Sementara itu, Ramlan berkata pihaknya mampu menjadi antara penghubung dalam usaha meneroka potensi kerjasama berkaitan teknologi, standard dan pembangunan industri halal antara Malaysia dan Vietnam.
Beliau berkata, aspek halal bukan hanya melibatkan makanan, malah logistik halal turut menjadi komponen penting bagi memastikan integriti status halal makanan dikekalkan sepanjang rantaian bekalan.
"Bermula daripada logistik sehingga ke meja makan, perlu dipastikan halal demi melindungi hak pengguna Islam agar yakin bahawa makanan yang dimakan benar-benar suci dan patuh syariah,” katanya.
Dalam konteks kerjasama itu, fokus boleh diberikan kepada projek yang boleh dilaksanakan, antaranya pensijilan dan pemprosesan halal, produk agro bernilai tambah, teknologi padi, akuakultur, gudang sejuk serta logistik. -Bernama