Wanita UMNO sedia gerak gelombang biru ke Melaka

Iklan
Noraini berucap ketika Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Wanita UMNO sedia menjadi penggerak utama untuk memastikan momentum Barisan Nasional (BN) diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang semakin hampir.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemenangan BN di Johor membuktikan rakyat masih memberikan ruang kepada parti itu, manakala keputusan di Negeri Sembilan menunjukkan ruang berkenaan boleh diperluaskan menerusi strategi tepat dan jentera yang bersatu.

Iklan
Iklan

"Kita dah lihat apa yang berlaku apabila rakyat kembali memberi keyakinan kepada BN. Kita dah nampak gelombang biru.

"Sekarang tugas kita adalah untuk pastikan gelombang biru ini tidak terhenti, kita bawa ke Melaka, kita besarkan, kita kuatkan," katanya ketika berucap sesi penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Perdagangan Dunia di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau menegaskan warna biru semata-mata tidak memadai untuk memastikan kemenangan kerana BN perlu mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Apabila biru semakin kuat, kepercayaan makin besar, insya-ALLAH kemenangan makin dekat,” katanya lagi.

Iklan

Noraini berkata, Wanita UMNO diminta menggerakkan jentera di peringkat akar umbi termasuk cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), selain terus meyakinkan rakyat terhadap perjuangan parti.

Tambah beliau, keputusan PRN Melaka kelak bukan sahaja penting kepada negeri itu, malah dijangka memberi kesan terhadap landskap pilihan raya akan datang.

“Kita susun kekuatan menuju Pilihan Raya Umum akan datang. Dan apabila semboyan pilihan raya dibunyikan, biar seluruh negara melihat Wanita UMNO sudah berada di medan pilihan raya," ujarnya.

Pada masa sama, Noraini memberi jaminan bahawa keresahan serta cadangan yang dibawa perwakilan Wanita UMNO sepanjang persidangan berkaitan ekonomi, pendidikan, keselamatan dan masa depan anak-anak tidak seharusnya berakhir sebagai catatan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan berkenaan akan disusun mengikut tindakan yang boleh digerakkan Wanita UMNO sebaik sahaja persidangan berakhir.