PRN Melaka: Long Suan jalan kaki 10km dengar keluhan penduduk Duyong

Iklan
Poay Tiong (kiri) dan Long Suan (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pengundi di salah satu lokasi persinggahan.

KOTA MELAKA - Cabaran berjalan kaki hampir 10 kilometer selama empat jam menerusi program 'Langkah Abang Long' dimanfaatkan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Poo Long Suan untuk mendengar sendiri keluhan serta keperluan penduduk setempat.

Program itu turut disertai Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bermula dari Taman Seri Duyong pada jam 7 pagi dan berakhir di Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama kira-kira jam 11 pagi.

Iklan
Iklan

Sepanjang perjalanan, mereka melalui beberapa lokasi termasuk Kedai Kopi Kim Leng, Sekolah Kebangsaan Seri Duyong, Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, SJK (C) Yu Ying, Tokong Chong Ling, Tokong Pak Siong, Stadium Tun Fatimah, Balai Raya Kampung Durian Daun Dalam dan Sekolah Menengah Perempuan Melaka.

Long Suan turut mengambil kesempatan berhenti di beberapa lokasi untuk bertemu penduduk dan wakil komuniti bagi mendapatkan pandangan secara langsung mengenai isu serta keperluan kawasan berkenaan.

Iklan

"Selain mendengar suara masyarakat, perjalanan itu turut memberi peluang kepada kami menilai keadaan kemudahan pejalan kaki, kesinambungan laluan, keselamatan jalan raya dan persekitaran yang menjadi sebahagian daripada rutin harian penduduk.

"Kami mempunyai matlamat serta hala tuju sama dalam membangunkan kawasan Duyong, khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan masyarakat," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Iklan

Tambah Long Suan, pengalaman berkhidmat sebagai ahli majlis pada 2024 dan 2025 turut memberi pendedahan kepadanya mengenai keperluan penduduk, terutama keluarga kurang berkemampuan.

Jelasnya, ketika itu, peruntukan yang ada digunakan antaranya bagi membantu keluarga memerlukan membuat persiapan persekolahan anak-anak, termasuk mendapatkan kelengkapan sebelum sesi persekolahan bermula.

"Usaha seperti ini penting bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya mereka yang berdepan kekangan untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

"Pembangunan komuniti bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, sebaliknya keperluan harian, keselamatan dan kualiti persekitaran tempat tinggal juga perlu diberikan perhatian," jelasnya.

Dalam pada itu, Poay Tiong turut berkongsi peruntukan yang disalurkan kepada komuniti Duyong sebelum ini, termasuk RM50,000 kepada SJK (C) Yu Ying pada tahun ini bagi tujuan pembangunan dan keperluan sekolah.