KOTA MELAKA - Keperluan merangka perancangan baharu bagi menangani kesesakan lalu lintas dan cabaran pembangunan kawasan pelancongan menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau berkata, Bandar Hilir yang menjadi tumpuan utama pelancongan Melaka memerlukan perhatian khusus kerajaan negeri, terutama dalam menangani isu kesesakan lalu lintas yang menjadi cabaran besar kepada penduduk dan pengunjung.
Menurutnya, kebanyakan lokasi pelancongan terkenal seperti Stadthuys, Menara Taming Sari dan Menara Jam terletak di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan perancangan pembangunan dan pengurusan trafik sebagai perkara penting yang perlu diberikan perhatian.
"Bandar Hilir merupakan jantung bandar Melaka kerana kebanyakan lokasi pelancongan memang tertumpu di kawasan ini.
"Jadi, isu kesesakan lalu lintas adalah cabaran besar yang perlu diselesaikan dan memerlukan perancangan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Jasmine berkata, pengalaman sebagai Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sejak 2022 membolehkannya memahami isu setempat serta keperluan masyarakat, khususnya di Bandar Hilir.
Beliau pernah ditugaskan menjaga kawasan Bandar Hilir dari 2022 hingga 2024 sebelum dipindahkan ke DUN Kesidang susulan pembahagian kawasan tugas dalam kalangan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Menurutnya, pengalaman turun padang dan berkhidmat kepada masyarakat menjadi asas untuk terus mendengar masalah penduduk serta mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
"Setakat ini, kempen memang berjalan lancar. Saya dengan pasukan turun padang setiap hari untuk berjumpa masyarakat atau pengundi di DUN Bandar Hilir.
"Sambutan yang diberikan juga amat menggalakkan apabila pengundi yang ditemui memberikan dorongan dan sokongan kepada saya," katanya.
Ditanya peluang mencabar penyandang kerusi berkenaan, Jasmine berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang ramalan sebaliknya menyerahkan penilaian kepada pengundi berdasarkan rekod khidmat dan kesungguhannya membantu masyarakat.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai ahli majlis mempunyai batasan kuasa kerana peranannya tertumpu kepada urusan pentadbiran dan perkhidmatan di bawah PBT.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan memberikan platform lebih luas untuk memperjuangkan kepentingan rakyat menerusi perancangan dasar dan pembangunan kawasan.
"Saya akan terus bertungkus-lumus menunjukkan keikhlasan untuk turun padang, mendengar masalah penduduk dan mencari penyelesaian.
"Walaupun bukan semua masalah boleh diselesaikan dalam sehari, ia memerlukan masa dan usaha berterusan.
"Sebagai ADUN, kuasa dan platform lebih besar untuk kita merancang dasar baharu serta membawa pembangunan yang diperlukan rakyat," katanya.
Pada PRN Melaka 2021, DUN Bandar Hilir dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Leng Chau Yen dengan 9,091 undi dan majoriti 7,778 undi.
Calon BN ketika itu, Lee Kah Sean memperoleh 1,313 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Clarice Chan Ming Wang mendapat 634 undi.
Bagi PRN Melaka kali ini, Jasmine berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang, Leng Chau Yen daripada PH dan Ir Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil yang mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).