KUALA LUMPUR - Hayat UMNO tidak boleh disandarkan pada perhitungan atau kekuatan parti lain, bukan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas apatah lagi DAP.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO mesti berdikari dan membangunkan kekuatannya dengan cara serta strategi sendiri.
Menurut beliau, jika parti terlalu bergantung kepada kekuatan parti lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai tetapi ia bakal memudaratkan UMNO dalam jangka panjang.
"Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.
"Justeru, tanamlah dalam fikiran bahawa selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh daripada pemulihan.
"Kebergantungan kepada orang lain adalah formula politik yang tempang. UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya," kata Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Bendahari Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Selain itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Mohamad atau Tok Mat berpendapat bahawa UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.
Atas dasar itu, beliau menegaskan kekuatan UMNO mesti dihimpunkan semula agar parti tidak perlu bergantung kepada pihak luar untuk keberlangsungan.
Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan, UMNO berada dalam mod bertahan hidup sejak lapan tahun lalu.
Justeru, beliau meminta orang ramai untuk menghentikan segala tohmahan terhadap UMNO kerana baginya, parti itu tidak menikam dan mengkhianati mana-mana pihak.
"Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik untuk keberlangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.
"UMNO tidak membenci atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO bangun semula," ujarnya.