Azeez Rahim nafi berkeras pakai baju lokap ungu, bergari – Peguam

Iklan
Abdul Azeez memakai baju lokap polis berwarna ungu, diiringi anggota polis selepas prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak pernah memilih atau berkeras untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu dengan memakai baju lokap polis berwarna ungu dan bergari.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad menegaskan, bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu tidak diberi peluang menukar pakaian sebelum dibawa menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Iklan
Iklan

Katanya, keadaan itu berlaku kerana Abdul Azeez kekal dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas prosiding reman bagi siasatan kes penipuan hibah TH.

Menurutnya, sebelum meninggalkan lokap polis, Abdul Azeez pada mulanya dibenarkan memakai pakaian biasa.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, sebelum dibawa keluar, beliau diarahkan menukar kepada pakaian lokap ungu mengikut prosedur operasi standard (SOP) PDRM.

“Selepas itu, beliau dibawa ke Mahkamah Sesyen dua bagi permohonan reman polis dan perintah reman selama dua hari diberikan terhadapnya,” katanya.

Iklan

Amer Hamzah berkata, gari yang dipakai Abdul Azeez turut dikenakan oleh pihak polis dan bukannya SPRM.

“Selepas prosiding reman, anak guam kami dibawa terus dari Mahkamah Sesyen dua ke Mahkamah Sesyen sembilan untuk pertuduhan SPRM terhadapnya dibacakan.

“Beliau tidak dilepaskan daripada tahanan polis di antara kedua-dua prosiding tersebut, termasuk ketika dipindahkan dari satu bilik mahkamah ke bilik mahkamah yang lain,” katanya.

Menurutnya, Abdul Azeez juga tidak berkesempatan menukar pakaian lokap sebelum prosiding pertuduhan berkenaan.

“Oleh itu, penampilan anak guam kami dalam pakaian lokap ungu dan gari semasa prosiding SPRM berikutnya bukanlah pilihan peribadinya.

“Beliau dibawa terus ke prosiding tersebut dalam pakaian dan keadaan yang sama seperti ketika menghadiri prosiding reman polis,” katanya.

Sehubungan itu, Amer Hamzah berkata, sebarang cadangan bahawa Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk hadir dalam keadaan tersebut adalah tidak tepat dan boleh memberikan gambaran mengelirukan mengenai situasi sebenar.

“Kami berharap perkara di atas dapat menjelaskan keadaan sekitar kehadiran anak guam kami di mahkamah hari ini dan membetulkan sebarang salah faham yang timbul daripada laporan mengenainya.

“Anak guam kami berhak mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana orang yang mencipta, menerbitkan, menyebarkan atau mengekalkan sebarang naratif palsu atau mengelirukan mengenai keadaan kejadian ini,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan, Abdul Azeez memilih dan berkeras untuk memakai baju lokap bagi menghadiri kes mahkamah dalam keadaan bergari walaupun telah dinasihati pegawai SPRM dan polis yang mengiringinya.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, SPRM menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.