Kereta peronda dinaiki dua anggota polis terbabas elak monyet

Iklan
Keadaan kereta peronda polis yang remuk selepas terbabas dan terbalik beberapa kali akibat mengelak sekumpulan monyet di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah - Tapah, Kampung Kepah pada petang Ahad.

​HULU TERENGGANU - Dua anggota polis cedera selepas kenderaan peronda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali akibat mengelak sekumpulan monyet di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah - Tapah, Kampung Kepah di sini pada petang Ahad.

​Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu kenderaan, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, mengalami kecederaan patah tangan kiri, manakala penumpang, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan di bahagian rahang.

Iklan
Iklan

​Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu itu sedang menjalankan tugas rondaan penguatkuasaan trafik.

​Menurutnya, kenderaan jenis Honda City itu sedang dalam perjalanan dari arah Simpang Kepah menghala ke Kuala Berang.

Iklan

​"Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sekumpulan monyet telah berada di tengah jalan.

​"Pemandu kenderaan berkenaan bertindak mengelak ke arah kanan bagi mengelakkan daripada melanggar haiwan tersebut.

Iklan

​"Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali," katanya.

​Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kenderaan terbabit mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian.

​Mengulas lanjut, Sharudin berkata, siasatan awal mendapati keadaan permukaan jalan ketika kejadian adalah basah berikutan cuaca selepas hujan.

​"Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.