BESUT - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berdepan detik hitam apabila dipercayai menjadi mangsa rogol bapa saudaranya sendiri di Kampung Raja, di sini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas mangsa bertindak mendedahkan kejadian tersebut dengan mengadu kepada ahli keluarganya.
Menurutnya, susulan pendedahan itu, pihak polis telah menerima satu laporan pada 8 November berhubung kes rogol berkenaan.
"Bertindak atas maklumat, suspek berusia 40 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa berjaya ditangkap pada jam 2.45 petang di rumahnya di Kampung Raja bagi membantu siasatan.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Methamphetamine.
Mengulas lanjut, Mohd Rozaime berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
"Polis Daerah Besut memandang serius sebarang bentuk jenayah seksual terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.
"Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan anak-anak serta segera membuat laporan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang bentuk penderaan atau gangguan seksual," tegas beliau.