M K Land perluas kesedaran dalam usaha pemuliharaan orang utan

Iklan
Pulau Orang Utan Bukit Merah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2000 dan kini menjadi habitat kepada 15 ekor orang utan Borneo.

MENERUSI Program Kesedaran Konservasi Pulau Orang Utan anjuran Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM), M K Land menekankan bahawa usaha pemuliharaan orang utan tidak hanya bergantung kepada sumbangan kewangan.

Ia sebaliknya perlu bermula dengan memupuk rasa bangga dan pemilikan dalam kalangan rakyat terhadap spesies yang menjadi sebahagian daripada warisan alam semula jadi negara.

Iklan
Iklan

Program menghimpunkan kira-kira 50 pengamal media termasuk delegasi Karangkraf yang diketuai Ketua Komunikasi Korporat & Hubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Ia memberi peluang kepada pengamal media melihat dengan lebih dekat usaha pemuliharaan orang utan di Bukit Merah, selain memahami komitmen dan perhatian berterusan yang diperlukan dalam menjaga spesies berkenaan.

Iklan

Pengalaman secara langsung di Pulau Orang Utan Bukit Merah itu turut membolehkan pengamal media melihat sendiri bagaimana orang utan Borneo dijaga dan diuruskan dalam habitat yang dilindungi.

Usaha pemuliharaan orang utan tidak hanya bergantung kepada sumbangan kewangan sebaliknya perlu bermula dengan memupuk rasa bangga dan pemilikan dalam kalangan rakyat

Iklan

Menurut M K Land, masa depan usaha pemuliharaan itu tidak hanya bergantung kepada mereka yang menjaga orang utan setiap hari, orang ramai juga mempunyai peranan penting dengan mengenali spesies berkenaan, memahami cabaran yang dihadapinya dan berkongsi pengetahuan itu dengan orang lain.

Pengetahuan mengenai orang utan penting kerana ia dapat membina rasa penghargaan, sebelum berkembang menjadi rasa tanggungjawab untuk melindungi spesies berkenaan.

“Apa yang kita ketahui lebih mudah untuk kita hargai. Dan apabila kita menghargai sesuatu, kita lebih cenderung untuk berasa bertanggungjawab melindunginya. Orang utan bukan milik mana-mana pihak. Ia milik kita semua sebagai rakyat Malaysia.

“Atas sebab itu, pemuliharaan seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan pelbagai pihak, bukannya ruang yang dibahagikan mengikut kepentingan atau perbezaan tertentu.

“Apa yang penting adalah mencari titik persamaan untuk berdialog, berkongsi kepakaran dan menggabungkan usaha demi kepentingan spesies berkenaan serta kelangsungan habitatnya,” katanya.

Usaha pemuliharaan juga memerlukan pendekatan yang terbuka dan mudah diakses oleh orang ramai.

Apabila terlalu banyak lapisan atau perbezaan menjadi penghalang, matlamat utama untuk melindungi spesies berkenaan boleh terabai.

Program Kesedaran Konservasi Pulau Orang Utan anjuran Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) memberi peluang peserta melihat dengan lebih dekat usaha pemuliharaan orang utan di Bukit Merah

Dengan menjadikan kebajikan orang utan sebagai keutamaan bersama, lebih ramai boleh memainkan peranan masing-masing, sama ada menyumbang kepakaran dan sumber atau membantu menyebarkan pengetahuan dalam komuniti.

Pulau Orang Utan Bukit Merah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2000 dan kini menjadi habitat kepada 15 ekor orang utan Borneo.

Usaha pemuliharaan di pulau berkenaan disokong pasukan seramai 17 kakitangan, termasuk tujuh renjer dan dua petugas veterinar.

Selain penjagaan harian, usaha pemuliharaan turut merangkumi pemulihan dan pengayaan habitat bagi memastikan keperluan serta kesejahteraan orang utan terus diberi perhatian sewajarnya.

Sepanjang lawatan itu, pengamal media turut menyertai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang secara langsung kepada penjagaan dan pengayaan habitat orang utan.

Dalam aktiviti itu, peserta bekerjasama menghasilkan buaian gergasi menggunakan hos bomba terpakai yang disumbangkan pasukan bomba dan penyelamat tempatan, selain membantu mengecat semula beberapa kemudahan di pulau berkenaan.

Walaupun sumbangan itu kelihatan kecil, pengalaman berkenaan menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan bukan hanya bergantung kepada usaha berskala besar atau sumbangan kewangan.

Sebaliknya, setiap orang boleh menyumbang mengikut kemampuan masing-masing, sama ada melalui masa, tenaga, pengetahuan atau membantu berkongsi maklumat yang tepat dengan orang lain.

Pada masa sama, M K Land Holdings Berhad, melalui YPOUBM menyedari keperluan untuk terus memperkukuh habitat sedia ada.

Cadangan penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan berpotensi meningkatkan kapasiti habitat kepada kira-kira 50 hingga 60 ekor orang utan pada masa hadapan.

Pelan itu mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap usaha pemuliharaan.

Namun, sejauh mana sesuatu habitat boleh dibangunkan, usaha berkenaan akan menjadi lebih bermakna apabila orang ramai memahami mengapa orang utan perlu dilindungi dan mengapa spesies itu wajar mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Dalam usaha itu, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan cerita, fakta dan pengetahuan kepada orang ramai, sekali gus membuka peluang untuk masyarakat mengenali orang utan bukan sekadar sebagai haiwan yang terdapat di pusat pemuliharaan, tetapi sebagai spesies yang menjadi sebahagian daripada warisan alam semula jadi negara.

Apabila kisah mengenai orang utan terus dikongsikan, lebih ramai akan mengenali spesies berkenaan.

Daripada pengetahuan itu, rasa bangga dapat dipupuk sebelum berkembang kepada rasa memiliki dan keinginan untuk bersama-sama melindunginya.

Pemuliharaan orang utan bukan sekadar mengenai menyelamatkan satu spesies, sebaliknya melindungi sebahagian daripada kekayaan warisan alam semula jadi Malaysia dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan ia terus hidup untuk generasi seterusnya.