IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 secara sebulat suara tanpa pindaan sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Rabu.
RUU yang mengandungi 16 fasal itu dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum dibahaskan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing mewakili kerajaan dan pembangkang.
Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) memulakan perbahasan diikuti Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) mewakili pembangkang sebelum digulung Saarani.
Sejurus selepas penggulungan, Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan RUU itu diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui semua ADUN.
Ketika membentangkannya, Saarani berkata, pindaan itu bertujuan memperjelas bidang kuasa, memperkemas tatakelola, mengelakkan pertindihan perundangan serta menyediakan punca kuasa bagi beberapa keperluan pentadbiran semasa.
Menurutnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang menjadi antara undang-undang utama pentadbiran agama Islam negeri telah melalui lima pindaan masing-masing pada 2005, 2009, 2012, 2018 dan 2025.
“Antara pindaan utama ialah pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, penyelarasan fungsi serta bidang kuasa institusi agama, pemantapan kerangka profesion Peguam Syarie, penyediaan asas perundangan bagi pendaftaran masjid dan surau serta beberapa penyelarasan lain terhadap peruntukan sedia ada.
“Kesemua pindaan ini mempunyai satu matlamat yang sama iaitu memastikan kerangka perundangan yang mendukung pentadbiran agama Islam di Perak kekal jelas, teratur dan berkesan, sesuai dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan prinsip serta kedudukan agama Islam dan institusi-institusinya,” katanya.
Saarani berkata, pindaan turut menyediakan punca kuasa undang-undang bagi pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama membabitkan jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pegawai Masjid.
Katanya, ia membolehkan pelantikan ke jawatan berkenaan dibuat daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan awam am Persekutuan.
“Pelaksanaan dasar perkhidmatan guna sama ini tidak mengubah kedudukan dan bidang kuasa negeri dalam pentadbiran agama Islam, sebaliknya menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan negeri memanfaatkan sumber manusia, pengalaman dan kepakaran daripada kedua-dua perkhidmatan secara lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata, fungsi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) turut diperjelaskan supaya merangkumi perkara berkaitan Adat Melayu, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Beberapa peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah pula dikeluarkan daripada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 bagi mengelakkan pertindihan kerana perkara berkenaan telah diperuntukkan di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018.
Saarani berkata, pindaan turut membolehkan pelatih dalam kamar yang menjalani latihan di bawah seliaan menghadiri prosiding Mahkamah Syariah sebagai sebahagian usaha meningkatkan kompetensi dan profesionalisme Peguam Syarie.
Selain itu, peruntukan khusus diwujudkan bagi pendaftaran masjid dan surau yang sebelum ini dilaksanakan secara pentadbiran tanpa peruntukan khusus dalam enakmen berkenaan.
Ketika menggulung perbahasan, Saarani menegaskan pengeluaran Pembantu Bilal daripada tafsiran 'Pegawai Masjid' tidak menjejaskan elaun, fungsi, tanggungjawab atau kedudukan mereka, selain tidak bermaksud jawatan itu dimansuhkan.
Katanya, Pembantu Bilal akan terus dikekalkan dan diuruskan seperti amalan sedia ada, manakala pindaan berkenaan hanya bertujuan menyelaraskan peruntukan undang-undang dengan tatacara pentadbiran semasa.