KUALA LUMPUR -"Sebagai anak, percayalah... melihat seorang ayah melalui saat seperti ini bukan sesuatu yang mudah,".
Demikian luahan Mohamed Khairul Azman Azeez, anak kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa bapanya kini berada dalam tahanan di Balai Polis Dang Wangi.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamed Khairul Azman berkata, bapanya sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.
Namun menurutnya, perancangan itu berubah selepas bapanya sekali lagi ditahan dan dikatakan akan direman bermula esok.
"Namun malam ini, ayah saya sekali lagi berada dalam tahanan dan kali ini di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan direman bermula esok," katanya menerusi hantaran pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling akan dituduh di hadapan Hakim Azura Alwi jam 9 pagi.
Menurutnya, bapanya juga sepatutnya bersama-sama sahabat seperjuangan pada Perhimpunan Agung UMNO, namun segala perancangan tersebut berubah susulan perkembangan berkenaan.
Mohamed Khairul Azman berkata, beliau tidak pernah menyangka perlu menulis mengenai bapanya dalam keadaan sedemikian.
Katanya, sepanjang mengenali bapanya, beliau melihat Azeez sebagai seorang yang kuat serta memilih untuk bersabar apabila berdepan penghinaan dan fitnah.
"Sebagai anak, percayalah, melihat seorang ayah melalui saat seperti ini bukan sesuatu yang mudah.
"Ada rasa sedih. Ada rasa takut. Ada rasa kecewa," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengalaman tersebut mengajarnya untuk tidak melawan kezaliman dengan kebencian dan tidak membalas fitnah dengan fitnah.
"Saya tidak mahu mendahului proses mahkamah. Saya juga tidak mahu menghukum sesiapa.
"Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis. Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah," katanya.
Mohamed Khairul Azman turut memohon orang ramai mendoakan bapanya diberikan kekuatan, ketenangan dan perlindungan serta segala urusan dipermudahkan.
"Dan paling penting, doakan agar kebenaran akhirnya menemukan jalannya kerana di sebalik seorang yang dikenali ramai sebagai Azeez Rahim, beliau seorang insan yang kami sekeluarga panggil Ata.
"Dan malam ini, sebagai seorang anak, hati saya benar-benar berat dan sedih," katanya.