KUALA LUMPUR - Dua rakyat Malaysia di Taiwan kini menerima rawatan perubatan untuk kecederaan ringan akibat kesan Taufan Champi, menurut Kementerian Luar.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan perkara itu disahkan oleh Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei yang turut menyediakan bantuan konsular kepada kedua-dua individu.
"(Pusat) berkenaan terus berhubung rapat dengan kumpulan pelajar Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia di Taiwan,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai maklumat mengenai warga Malaysia yang mungkin memerlukan bantuan di kawasan terjejas, digesa menghubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei pada talian +886 972 349 343 atau melalui e-mel mwtaipei@kln.gov.my.
Wisma Putra berkata, pihaknya memantau dengan teliti keadaan berikutan impak taufan itu, yang membawa angin kencang, hujan lebat dan gangguan meluas terhadap pengangkutan dan perkhidmatan awam.
Taufan Champi telah mengakibatkan pembatalan penerbangan yang meluas dan gangguan perkhidmatan feri, dengan keadaan cuaca buruk dijangka berterusan di beberapa bahagian di Taiwan.
Menurut kementerian, pihak berkuasa tempatan telah memindahkan penduduk dari kawasan banjir dan tanah runtuh termasuk kawasan berhampiran empangan yang dilanda tanah runtuh di Daerah Hualien.
"Rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Taiwan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pantai dan pergunungan selain mematuhi semua arahan keselamatan dan arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.
Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk memantau nasihat cuaca tempatan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ke kawasan yang terjejas oleh banjir, tanah runtuh atau bahaya berkaitan cuaca yang lain.
Wisma Putra berkata, memandangkan gangguan pengangkutan berterusan, rakyat Malaysia yang mempunyai rancangan perjalanan dinasihatkan menyemak status penerbangan atau feri mereka secara langsung dengan pengendali masing-masing sebelum ke lapangan terbang atau terminal.
Kementerian menggalakkan semua rakyat Malaysia mendaftar dan sentiasa mengemas kini butiran perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan akses bantuan konsular yang tepat pada masanya. - Bernama