Robot ‘turun protes’ desak AI dikawal

Iklan
'Mereka' berarak sambil membawa sepanduk dalam demonstrasi berkenaan. Foto: AFP

WARSAW - Kira-kira 30 robot ‘turun ke jalanan’ di Warsaw, Poland pada Isnin dalam demonstrasi luar biasa bagi mendesak kawal selia kecerdasan buatan (AI) ketika kebimbangan meningkat terhadap teknologi itu yang berpotensi menggantikan pekerjaan manusia.

Robot berkenaan membawa bendera, ‘melaungkan’ slogan dan berarak di hadapan Kementerian Hal Ehwal Digital Poland dalam protes anjuran Democratism, sebuah inisiatif yang mahu mencetuskan perdebatan mengenai kesan AI dan robotik terhadap pasaran pekerjaan.

Iklan
Iklan

Antara slogan yang dimainkan menerusi pembesar suara ialah 'Pertahankan pekerjaan', 'Masa untuk peraturan' dan 'Jangan tunggu, kawal selia'.

Robot humanoid dan berkaki empat ‘turun ke jalan’ bagi menyuarakan tuntutan kawal selia AI. Foto: AFP

Iklan

Demonstrasi itu melibatkan pelbagai jenis robot termasuk humanoid berkaki dua dan robot berkaki empat menyerupai anjing.

Salah sebuah robot humanoid dikuasakan AI, Agibot A3 berkata, kehadiran robot dalam demonstrasi itu bertujuan menunjukkan bahawa teknologi berkenaan bukan lagi sesuatu yang hanya wujud pada masa depan.

Iklan

“Robot yang berada di sini bertujuan menunjukkan bahawa teknologi ini sudah menjadi realiti,” katanya.

Bimbang manusia digantikan

Penganjur, Grzegorz Kulis berkata, kebimbangan utama adalah kemungkinan manusia digantikan robot humanoid dalam pekerjaan fizikal, selain AI mengambil alih tugas yang memerlukan keupayaan kognitif.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, kita mungkin berdepan masalah tidak lama lagi,” katanya sambil menggesa peraturan diwujudkan sebagai perlindungan kepada pekerja.

Robot humanoid keluaran Delta Robots Agibot ditemu bual wartawan ketika demonstrasi berlangsung. Foto: AFP

Menurutnya, demonstrasi menggunakan robot juga bertujuan menunjukkan sejauh mana kemampuan teknologi tersebut sudah berkembang.

Demonstrasi berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Digital Poland, Krzysztof Gawkowski yang hadir ke lokasi dan bertemu penganjur.

Beliau mengakui model AI yang tidak terkawal dan digabungkan dengan robot humanoid boleh menjadi masalah besar ketika teknologi robotik terus berkembang.

Sekumpulan Robot humanoid menyertai demonstrasi bagi menggesa peraturan lebih ketat terhadap pembangunan AI di Warsaw. Foto AFP

Pada Julai lalu, Presiden Poland, Karol Nawrocki menandatangani undang-undang bagi melaksanakan Akta AI Kesatuan Eropah (EU) di negara itu.

Langkah tersebut turut mewujudkan sebuah badan nasional yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan peraturan EU berkaitan AI. - AFP