Bandar Hebron kena 'lockdown'

Iklan
Hebron terputus dengan dunia luar selepas sekatan ketat dilaksanakan di laluan masuk ke bandar itu. - Foto AFP

HEBRON - Tentera rejim Zionis memaksa kira-kira 2,000 penduduk Palestin meninggalkan kediaman masing-masing di Hebron selepas ia mengepung dua kawasan kejiranan di bandar selatan Tebing Barat itu.

Ribuan lagi berdepan risiko kehilangan tempat tinggal susulan operasi ketenteraan besar-besaran yang dilancarkan sehari selepas dua askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) terbunuh dalam serangan bersenjata di sebuah pusat pemeriksaan tentera.

Iklan
Iklan

Datuk Bandar Hebron, Yousef Al-Jaabari berkata, kira-kira 200 keluarga dipindahkan pada Sabtu ketika Israel melaksanakan 'lockdown' dan mengarahkan penduduk meninggalkan kawasan kejiranan Al-Jaladah dan Ein Deir Baha yang padat dengan penduduk, berhampiran pos tentera di pintu masuk Hebron, lokasi serangan itu berlaku.

"Wanita, kanak-kanak dan warga emas tiada tempat untuk dituju selepas langkah pengusiran itu. Kami juga tidak dapat menghubungi sejumlah penduduk yang masih terperangkap di kawasan kejiranan tersebut," ujarnya.

Iklan

Menurutnya lagi, tentera Israel turut menandakan rumah yang telah dikosongkan dan mengedarkan notis mengarahkan penduduk yang masih tinggal supaya meninggalkan kediaman tanpa membawa kenderaan masing-masing.

Rejim Zionis sewenang-wenangnya menjadikan rumah penduduk Palestin sebagai berek dan pos pemantauan selepas memaksa mereka meninggalkan bandar Hebron yang digempur dua hari berturut-turut.

Iklan

IDF bertindak menutup semua laluan masuk ke Hebron selain merobohkan kedai, kilang, rumah dan jalan raya di pintu masuk barat bandar itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan penutupan semua lintasan darat dengan Tebing Barat sempena Pilihan Raya Umum pada Selasa ini.

Langkah itu menyusul selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan operasi ketenteraan berskala besar di Hebron serta memperluas sekatan di seluruh wilayah diduduki berkenaan yang turut menjadi sasaran serangan ganas puak pelampau Yahudi. – Agensi