KUANTAN - Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan RM61.4 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga Jun lalu dengan melibatkan 1,746 projek yang dijangka mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pencapaian itu menunjukkan potensi serta peluang pelaburan yang luas kepada para pelabur asing dan domestik di Wilayah Pantai Timur.
Menurutnya, MIDA terus memperkukuh usaha menarik dan memudah cara pelaburan di wilayah itu menerusi kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu serta lebih 10 agensi kerajaan.
“Kehadiran pelabur, syarikat tempatan dan agensi Kerajaan di bawah satu bumbung pada hari ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengetengahkan dan merealisasikan peluang pelaburan serta memperkukuh ekosistem industri di Wilayah Pantai Timur.
" MIDA akan terus mempergiat usaha mengetengahkan peluang pelaburan di Pantai Timur dengan sokongan berterusan agensi Kerajaan bagi merealisasikan minat dan hasrat pelaburan
"Usaha itu juga bagi memastikan pembangunan di wilayah berkenaan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan seimbang, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026 di AC Hotel by Marriott di sini pada Selasa.
Seminar bertemakan ‘Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Koridor Pantai Timur’ itu menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Bumiputera, syarikat mid-tier, pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan agensi kerajaan.
Antara tumpuan utama seminar ialah peranan East Coast Rail Link (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027 sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan di wilayah berkenaan.
ECRL bakal meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan logistik serta akses kepada pasaran dan rantaian bekalan, selain membuka ruang kepada hab logistik, pembangunan berorientasikan transit dan kargo serta projek industri dan ekonomi berkaitan.
Dalam sesi Bicara Inspirasi pula, keupayaan syarikat tempatan seperti Ain Medicare Sdn. Bhd. dari Kelantan dan Elektro Serve (Malaysia) Sdn. Bhd. dari Terengganu turut diketengahkan sebagai contoh potensi syarikat tempatan untuk berkembang ke sektor bernilai tinggi dan pasaran lebih luas.
Menerusi sesi Klinik Perniagaan, lebih 10 agensi Kerajaan menyediakan akses terus kepada komuniti perniagaan dan pelabur. Lebih 70 syarikat telah mendapatkan khidmat fasilitasi meliputi aspek kelulusan, operasi, utiliti, tenaga kerja, cukai dan pelaksanaan projek
Mengulas lanjut, Sikh Shamsul berkata, MIDA turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan pelaburan asing dan domestik menghasilkan limpahan kepada ekosistem tempatan.
Ujarnya, ia termasuk peluang dalam bidang pembekalan, logistik, penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal, pemprosesan dan komponen.
Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, kekuatan ekosistem industri dan infrastruktur sedia ada menyediakan asas kukuh untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Pahang mempunyai ekosistem industri dan infrastruktur yang kukuh, termasuk Pelabuhan Kuantan serta kawasan perindustrian sedia ada.
“Invest Pahang juga sentiasa mencari ruang untuk menambah baik proses dan mempercepatkan kelulusan dalam konteks ‘ease of doing business’. Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan MIDA untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperluas peluang kepada syarikat tempatan,” katanya
Bagi Menteri Besar Terengganu merangkap Exco Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli negeri, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu dan Wilayah Pantai Timur mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelaburan baharu, khususnya dalam sektor bernilai tinggi.
"Wilayah Pantai Timur berpotensi berkembang sebagai koridor ekonomi dan pelaburan yang lebih berdaya saing, disokong oleh pembangunan infrastruktur strategik termasuk ECRL.
"Terengganu akan terus memperkukuh kerjasama dengan MIDA bagi menarik pelaburan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi, di samping memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dan usahawan tempatan," jelasnya.
Dalam pada itu, Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman berkata kedudukan strategik Kelantan membuka peluang untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.
"Kedudukan Kelantan sebagai gerbang perdagangan dengan Thailand serta kekuatan dalam sektor halal, industri berasaskan sumber dan logistik menawarkan peluang baharu kepada pelabur.
" Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan MIDA untuk menarik pelaburan dan memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan," katanya