KUANTAN – Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati menggunakan cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih 18 tahun dalam satu operasi di Cameron Highlands pada Khamis.
Lebih mengejutkan, kenderaan terbabit turut dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah selain pernah disita atas kesalahan sama pada Disember tahun lalu.
Unit Korporat JPJ Pahang memaklumkan, kenderaan berkenaan ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 1 petang di Jalan Sungai Palas menuju ke Gunung Brinchang.
Menurutnya, ketika ditahan, Land Rover itu dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun dan membawa tiga pelancong tempatan.
“Hasil semakan mendapati cukai jalan kenderaan tersebut telah tamat tempoh sejak 1 April 2008 selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
JPJ turut mendapati kenderaan berkenaan pernah disita pada Disember tahun lalu atas kesalahan yang sama, namun ketika itu dipandu individu berbeza.
“Semakan mendapati kenderaan tersebut masih didaftarkan atas nama institut penyelidikan sebuah agensi pertanian yang pernah melelong kenderaan itu sebelum ini.
“Difahamkan proses pertukaran hak milik kepada pembeli yang berjaya dalam lelongan tersebut masih belum dilaksanakan menyebabkan rekod pemilikan kenderaan kekal atas nama agensi terbabit,” katanya.
Susulan itu, kenderaan berkenaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Raub untuk tindakan lanjut.
Pemandu terbabit turut dikenakan saman mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, JPJ Pahang menegaskan pihaknya memandang serius kesalahan berulang yang melibatkan pemilik dan pengguna kenderaan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua kenderaan yang beroperasi di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.