Kerjasama, muafakat Jemaah Menteri sumbang kepada kestabilan politik - Anwar

Iklan
Anwar (tengah) ketika hadir pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak "Arkitek Pembangunan Negara Bangsa" di Memorial Tun Abdul Razak pada Selasa. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya berada pada tahap baik sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan itu membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara berlandaskan dasar yang jelas dalam suasana politik yang stabil.

Iklan
Iklan

"Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar jelas, politik stabil (dan) kerjasama yang ada dalam Jemaah Menteri walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.

"Tetapi dari segi kerjasama, umumnya kita bermuafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan membolehkan kita merencanakan negara,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama dengan Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini pada Selasa.

Iklan

Anwar berkata, kestabilan yang wujud perlu dimanfaatkan kerajaan untuk meneruskan perancangan serta melaksanakan dasar yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat secara keseluruhan.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang diraih sebaliknya terus berusaha untuk meningkatkan prestasi kerajaan.

Iklan

Beliau berkata, pencapaian yang membanggakan tidak harus menyebabkan kerajaan"dilamun rasa enak dan senang (dengan) kejayaan", tetapi menjadi dorongan untuk terus bekerja keras demi kepentingan negara.

Selain itu, Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku kedua tahun ini turut mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan meskipun berhadapan cabaran.

Malaysia dilaporkan terus mencatat prestasi luar jangka bagi tiga suku berturut-turut dan berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 5.4 peratus direkodkan pada suku sebelumnya.

Prestasi itu merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Pencapaian suku kedua 2026 telah menjadikan pertumbuhan separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus, sekali gus meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan, iaitu antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi 2026. - Bernama