KOTA BHARU - Pas akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlaku di negeri itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, surat permohonan perbincangan berkenaan sudah dihantar kepada menteri besar bagi membolehkan perkara itu dibincangkan bersama.
Menurut beliau, Pas akan terus berbincang dengan kerajaan negeri dari semasa ke semasa meskipun parti itu tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
"Lebih kepada penyelesaianlah apa-apa masalah yang berlaku, sebab Pas ini walaupun kita tidak duduk dalam kerajaan, tapi kita menyokong kerajaan atas nama Perikatan Nasional (PN) lagilah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Sabtu.
Sebelum itu, media melaporkan Abu Bakar akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal pemilihan.
Menurut beliau, pihaknya akur dengan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu, namun akan mengemukakan rayuan mengikut saluran dan proses yang ditetapkan parti.
Mengulas kedudukan Menteri Besar Perlis, Takiyuddin berkata, penggantungan keahlian daripada parti tidak bermakna individu berkenaan sudah keluar daripada Bersatu.
"Penggantungan menteri besar itu tidak bermakna dia dah keluar daripada Bersatu, dia masih ahli Bersatu. Dia tak boleh masuk parti lain, itu tidak jadi lompat parti," katanya.
Menurut beliau, perbincangan dengan menteri besar itu penting bagi mencari penyelesaian terhadap isu berbangkit, selain mengambil kira kedudukan Pas sebagai sebahagian daripada PN.
Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan perbincangan antara Pas dengan kerajaan negeri akan diteruskan bagi membolehkan perkara berkaitan diselesaikan melalui rundingan.