PRN Sarawak: Pas belum putuskan penyertaan, tunggu perbincangan PN

Iklan
Takiyuddin Hassan.

KOTA BHARU – Pas belum memutuskan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sebaliknya perkara itu bakal dibincangkan bersama kepimpinan parti dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu masih berada pada peringkat awal untuk menentukan pendirian berhubung penyertaan dalam pilihan raya berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pas sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, namun keputusan untuk bertanding di Sarawak masih belum dimuktamadkan.

"Pas bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya. Sama ada kita mahu masuk atau tidak, itu isu kedua.

Iklan

"Kalau kita putuskan untuk masuk pilihan raya di mana-mana negeri pun, kita perlu bersedia. Bagaimanapun, dalam konteks Sarawak, kita belum putuskan lagi sama ada mahu mengambil bahagian atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) sempena Karnival Rakyat Kelantan 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Sabtu.

Iklan

Terdahulu media melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin, 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching pada Jumaat.

Takiyuddin memberitahu, perbincangan lanjut akan diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk mengambil kira kedudukan PN yang tidak mempunyai gabungan di Sarawak.

Menurut beliau, situasi itu berbeza dengan Sabah apabila Pas telah memutuskan untuk menyertai pilihan raya negeri berkenaan.

"Di Sabah, kita memang sudah putuskan untuk masuk pilihan raya. Jadi, Sarawak ini belum ada apa-apa keputusan lagi.

"Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti," katanya.

Takiyuddin turut memaklumkan bahawa setakat ini, beliau belum menerima arahan daripada Presiden Pas untuk memanggil mesyuarat khusus bagi membincangkan penyertaan parti itu dalam PRN Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan di peringkat nasional PN dijadual berlangsung pada Ahad bagi membincangkan perkara berkaitan gabungan itu.