MYDIN jadi pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth

Iklan
(Dari kiri) Hock Guan, Hock San, Ameer Ali Mydin, Ahimmat Mydin ketika majlis pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di KITA @ Cybersouth.

LBS Bina Group Bhd (LBS) memperkukuh landskap peruncitan dan komersial di perbandaran utamanya, KITA @ Cybersouth menerusi kemasukan MYDIN Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) sebagai pasar raya pertama di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Datuk Lim Hock Guan memeterai Perjanjian Sewaan berkenaan bersama Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr Ameer Ali Mydin pada majlis yang diadakan di Galeri Penemuan LBS, KITA @ Cybersouth pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Pemeteraian perjanjian itu turut disaksikan Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San dan Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin.

Menurut Hock Guan, kerjasama strategik itu mencerminkan perubahan dalam landskap pembangunan hartanah dan runcit apabila keperluan penduduk semakin diberi penekanan dalam perancangan sesebuah perbandaran.

Iklan

“Sejajar dengan perkembangan KITA @ Cybersouth, adalah penting untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di dalam perbandaran ini terus berkembang selaras dengan keperluan para penduduk.

“Kehadiran MYDIN sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap dan MYDIN merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia.

Iklan

“Sudah tentu kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran MYDIN ke KITA @ Cybersouth,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, keputusan MYDIN membuka cawangan di KITA @ Cybersouth dibuat berdasarkan potensi kawasan berkenaan yang sedang berkembang dan mempunyai jumlah penduduk yang semakin meningkat.

“Kami mahu MYDIN menjadi lebih daripada sebuah destinasi beli-belah dan menjadi sebahagian daripada komuniti ini selaras dengan perkembangannya dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya.

MYDIN akan beroperasi di kawasan tanah seluas 1.37 hektar dengan keluasan binaan kira-kira 24,000 kaki persegi dan melengkapi pembangunan KITA Avenue Square yang kini dalam pembinaan.

KITA @ Cybersouth dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 256.17 hektar Tanah Rizab Melayu dan dirancang sebagai perbandaran bersepadu yang merangkumi komponen kediaman, komersial, jaringan perhubungan serta kemudahan komuniti.

Perbandaran itu mempunyai jumlah pembangunan dirancang sekitar 16,000 unit dengan hampir 40 peratus sudah siap setakat ini, manakala lima peratus lagi sedang dibangunkan dan baki 55 peratus masih dalam peringkat perancangan.

Selain itu, KITA @ Cybersouth kini mempunyai kira-kira 30,000 penduduk dan jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 70,000 orang apabila baki unit kediaman siap dibangunkan, dengan kira-kira 63 peratus pembelinya berusia 40 tahun ke bawah.