KPT arah UiTM sedia laporan lengkap kematian peserta Kesatria

Iklan
Fadhlan Fakhry Solana dilaporkan rebah pada Jumaat lepas sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang Sabtu semasa menerima rawatan di HoSHAS, Temerloh, Pahang.

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan laporan lengkap berhubung kematian seorang peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang berlangsung di Kampus Jengka, Pahang pada Sabtu lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan itu bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan susulan yang perlu diambil supaya insiden seperti itu tidak berulang.

Iklan
Iklan

"Kita mengambil perhatian serius setiap perkara yang melibatkan penuntut yang mengikuti program seumpama ini. Saya telah meminta pihak UiTM menyediakan laporan lengkap,” katanya.

Zambry berkata demikian selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, KPT akan memastikan aspek keselamatan dan kebajikan penuntut sentiasa diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan program seperti itu.

"Laporan awal yang disampaikan kepada kita, ia melibatkan tentang suhu, haba keterlaluan yang menyebabkan beberapa orang penuntut terkesan. Ia latihan yang biasa dilakukan setiap tahun.

Iklan

"Bagi pihak KPT, saya mengucapkan takziah kepada keluarga penuntut terlibat dan mendoakan agar mereka yang dirawat kembali pulih dan dapat meneruskan pengajian,” katanya.

Sebelum ini, peserta KKEC 2026 daripada UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, dilaporkan rebah pada Jumaat lepas sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang Sabtu semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang.

Selain itu, tujuh lagi dilaporkan menerima rawatan serta pemantauan perubatan berikutan insiden berkaitan haba ketika menyertai acara jalan lasak dalam program itu.

Jenazah anak kedua daripada empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam, Selangor semalam. - Bernama