GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam peserta ekspedisi pendakian merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah, dan Bieh (Trans GBB) yang dilaporkan hilang kini ditumpukan di kawasan laluan sebelah Perak.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, operasi berkenaan dilancarkan susulan laporan polis dibuat ahli keluarga selepas mereka gagal menerima sebarang khabar berita daripada kumpulan terbabit sehingga 6 September lalu.
Beliau yang juga Komander Operasi SAR tersebut memaklumkan pencarian dibuat dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan.
"Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan serta-merta untuk menjejaki kumpulan terbabit di kawasan laluan sebelah Perak.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ketika mendaki: Wan Ahmad Aslam, isteri dua anak masih belum ditemui
Enam termasuk empat sekeluarga, dua malim gunung dikhuatiri hilang di hutan
Enam individu hilang: Bomba sedang kumpul maklumat sebelum selaras tindakan
Terputus hubungan, budak 9 tahun antara enam pendaki dikhuatiri hilang
Bomba Kelantan siap siaga bantu SAR enam pendaki hilang di Lojing
Abdul Samad berkata, kumpulan pendaki itu terdiri daripada empat lelaki berusia antara 39 hingga 49 tahun dan dua kanak-kanak masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun.
Katanya, mereka dilaporkan memulakan pendakian pada 29 Ogos dari kawasan Pos Dakoh, Gua Musang, Kelantan dan dijangka keluar melalui Pos Kemar, Perak pada 3 September lalu.
"Bagaimanapun sehingga 6 September, ahli keluarga masih tidak menerima sebarang berita sebelum membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan mereka," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kumpulan terbabit supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencarian.
Katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menjejaskan kelancaran operasi SAR.
INFO
Laluan Trans GBB yang merangkumi Gunung Gerah, Bilah dan Bieh di Banjaran Titiwangsa dianggap antara trek pendakian mencabar kerana melalui kawasan hutan tebal, hutan lumut serta laluan permatang yang curam.
Ekspedisi itu merentasi sempadan Perak dan Kelantan dengan pendaki biasanya memulakan perjalanan sama ada melalui Pos Kemar, Perak atau Pos Dakoh, Kelantan.
Melalui Pos Kemar, tempoh pendakian lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima hari, manakala laluan dari Pos Dakoh pula sekitar tiga hingga empat hari dengan jarak trek kira-kira 44 kilometer.
Trans GBB dikategorikan sebagai laluan pendakian bertaraf sangat sukar atau 'hardcore' dan tidak sesuai untuk pendaki baharu berikutan cabaran fizikal serta bentuk muka bumi yang mencabar.
Pendaki juga berdepan perubahan ketinggian melebihi 2,600 meter dengan perjalanan antara lapan hingga 12 jam sehari melalui laluan turun naik yang curam.
Selain itu, laluan tersebut bukan trek komersial dan jarang dilalui menyebabkan jejak pendakian tidak sentiasa jelas, sekali gus meningkatkan risiko tersesat atau laluan terhalang akibat pokok tumbang.
Cabaran turut bermula sebelum memasuki hutan apabila pendaki perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk melalui jalan balak menuju ke pintu rimba.
Sepanjang berada di kawasan hutan pula, pendaki berdepan ketiadaan liputan telefon, sekali gus menyukarkan komunikasi dengan pihak luar.