Dakwaan Avisena Healthcare 'dibeli' jutawan Yahudi tidak tepat

Iklan
Avisena Specialist Hospital 2 (ASH2) Shah Alam.

SHAH ALAM - Dakwaan bahawa individu ternama Yahudi berstatus bilionair membeli pegangan minoriti dalam Avisena Healthcare adalah tidak tepat.

Bahagian Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Avisena Healthcare menegaskan, pelaburan ke dalam institusi kesihatan itu dibuat oleh syarikat antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), iaitu KKR & Co, bukannya atas nama mana-mana individu.

Iklan
Iklan

“KKR & Co ialah firma pelaburan global yang disenaraikan di Bursa Saham New York (NYSE) dengan struktur pemilikan terdiri daripada pelbagai pemegang saham termasuk institusi kewangan, dana pencen, dana kekayaan berdaulat, pengurus aset serta pelabur awam.

“Pelaburan ke dalam Avisena Healthcare merupakan satu transaksi komersial. Ia tidak wajar dikaitkan atau ditafsirkan berdasarkan agama, etnik atau latar belakang peribadi mana-mana individu.

Iklan

“Ia cuma pelaburan minoriti dan tidak melibatkan pembelian, pengambilalihan atau sebarang perubahan kepada kawalan pegangan saham sedia ada Avisena Healthcare,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pihak Avisena Healthcare berkata, tiada perubahan kepada barisan pengurusan mahupun gerak kerja institusi itu susulan transaksi pelaburan yang dimeterai.

Iklan

Jelasnya lagi, pemegang saham sedia ada dan barisan pengurusan Avisena Healthcare akan terus menerajui syarikat, manakala perkhidmatan klinikal serta operasi harian diuruskan oleh pasukannya seperti biasa.

“Avisena Healthcare kekal komited terhadap nilai, standard klinikal dan prinsip etika yang selama ini menjadi asas organisasi serta penjagaan yang diberikan kepada pesakit,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di Threads dakwaan kononnya Avisena Healthcare ‘dibeli’ oleh bilionair Yahudi, Henry Kravis yang juga pengasas bersama KKR & Co.

Dari kiri: Chin Yu Oh, Lim Soon Jin, Elina Nadia dan Datuk Dr Omar ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Avisena Healthcare dengan KKR & Co pada 4 September lalu.

Dakwaan tersebut yang dibuat oleh agensi media antarabangsa menyatakan bahawa KKR & Co bersetuju untuk mengambil kepentingan minoriti dalam Avisena Healthcare.

Nilai dan butiran transaksi tersebut tidak didedahkan oleh KKR & Co ketika dihubungi media.

Bagaimanapun, pegangan itu didakwa ditawarkan pada kadar 20 hingga 25 peratus dengan nilai kira-kira RM300 juta hingga RM400 juta.

Pelaburan itu dipercayai bertujuan mengembangkan perkhidmatan kesihatan Avisena Healthcare di Shah Alam termasuk pembukaan hospital baharu di sekitar Lembah Klang.

Avisena Healthcare didakwa bakal membangunkan bangunan baharu bagi Avisena Specialist Hospital Shah Alam dengan peningkatan kapasiti keseluruhan hospital kepada 404 katil pesakit menjelang 2027.

Bukan itu sahaja, kumpulan itu dipercayai membuka cawangan hospital baharu di Cyberjaya menjelang 2029 dengan kapasiti lebih 600 katil pesakit.

Pada 4 September lalu, dalam satu majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Avisena Healthcare dan KKR & Co, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar menyambut baik jalinan sinergi itu.

Tambah beliau, pihaknya percaya kepakaran KKR & Co dalam sektor penjagaan kesihatan di rantau Asia, selain pengalaman luas yang dimilikinya, mampu menyokong usaha Avisena Healthcare dalam memperluaskan keupayaan, memperkukuh perkhidmatan klinikal serta menyediakan penjagaan berkualiti tinggi kepada lebih ramai pesakit.

Elina Nadia berkata, sepanjang tempoh 30 tahun lalu, Avisena Healthcare menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, penuh ihsan dan mudah diakses kepada komuniti.

Hadir sama ke majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Pengarah KKR & Co, Chin Yu Oh; Pengarah Urusan dan Ketua Kredit Swasta Asia KKR & Co, Lim Soon Jin serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Avisena Healthcare, Datuk Dr Omar Abd Hamid.

Avisena bermula sebagai sebuah kemudahan perubatan kecil di Shah Alam pada 1996 sebelum dikenali sebagai DEMC pada 2001 dan dijenamakan semula pada 2018.

Kini, kumpulan itu merangkumi Avisena Specialist Hospital, Avisena Specialist Hospital 2 dan Avisena Renal Care dengan lebih 250,000 pesakit tempatan dan antarabangsa setahun.

Hospital tersebut menyediakan lima kemudahan perubatan dengan lebih 75 pakar pemastautin serta perkhidmatan meliputi 60 bidang kepakaran.

KKR & Co pula sejak 2004 telah melabur lebih AS$20 bilion dalam ekosistem penjagaan kesihatan global untuk menyokong pelaburan dalam keupayaan klinikal, teknologi dan infrastruktur serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi.

Di rantau Asia Pasifik, portfolio pelaburan KKR & Co dalam sektor penjagaan kesihatan merangkumi Medical Saigon Group di Vietnam dan Metro Pacific Hospital Holdings, Inc. di Filipina.

Selain itu, syarikat berkenaan turut melabur dalam syarikat penjagaan kesihatan di India, Jepun dan China.