Industri percetakan perlu latih semula pekerja kuasai automasi

Iklan
Sesi wacana akademik bersama pemain industri percetakan yang berlangsung di Dewan Karangkraf 17 September lalu bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas dari pemain industri mengenai perubahan teknologi, amalan industri dan kompetensi graduan

INDUSTRI percetakan perlu memberi tumpuan kepada usaha melatih semula pekerja berpengalaman supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu dan sistem pengeluaran berautomasi yang semakin meluas digunakan dalam sektor berkenaan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Print Sdn Bhd, Azizi Fickry berkata, transformasi teknologi bukan sahaja mengubah operasi percetakan, malah menuntut tenaga kerja sedia ada meningkatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia berkata, perubahan ketara turut berlaku dalam segmen penerbitan apabila permintaan terhadap novel dan buku kini lebih tertumpu kepada cetakan dalam kuantiti kecil tetapi melibatkan pelbagai judul serta pengeluaran yang lebih fleksibel.

“Industri perlu menggunakan pendekatan yang bijak dalam melatih semula staf berpengalaman sedia ada untuk mengguna pakai teknologi terkini dan automasi.

Iklan

“Perubahan itu memberi gambaran bahawa perkembangan teknologi percetakan turut membawa perubahan kepada amalan kerja dan keupayaan tenaga kerja untuk menyesuaikan diri dengan sistem pengeluaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Wacana Akademik Program Teknologi Percetakan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam bersama Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia yang berlangsung di Dewan Karangkraf di sini baru-baru ini.

Iklan

Sesi berkenaan dikendalikan Pensyarah Jabatan Teknologi Percetakan, Profesor Madya Dr Siti Farhana Zakaria dan Muhammad Yusuf Masod bagi mendapatkan pandangan pemain industri mengenai perkembangan teknologi, amalan kerja serta kecekapan graduan sebagai input semakan kurikulum Program Teknologi Percetakan.

Perbincangan turut melibatkan pelbagai aspek termasuk teknologi percetakan digital inkjet, automasi, sokongan teknikal, proses kemasan dan pasca cetak, aliran kerja, penyelesaian masalah, penjadualan, kos operasi serta pembangunan produk.

Sementara itu, Pengarah Urusan Vivar Printing Sdn Bhd, Cheong Kok Wai berkata, perkembangan industri percetakan kini semakin menjurus kepada penggunaan teknologi digital, khususnya percetakan inkjet.

“Permintaan terhadap percetakan pembungkusan menunjukkan peningkatan yang tinggi dan peralihan percetakan pembungkusan berasaskan kertas kepada pembungkusan plastik memberi isyarat baharu kepada percetakan flexografi,” katanya.

Selain perkembangan teknologi, kesediaan graduan untuk memasuki alam pekerjaan turut menjadi antara fokus utama perbincangan.

Antara aspek yang diberi perhatian ialah pendedahan praktikal kepada proses teknikal, sistem dan aliran kerja pengeluaran semasa, kemahiran komunikasi, perancangan, pemikiran kritikal serta keupayaan bekerja dalam persekitaran industri sebenar.

Panel turut mencadangkan supaya pendedahan pelajar kepada industri dipertingkatkan menerusi lawatan akademik, kerjasama strategik antara UiTM dan pemain industri dalam program latihan jangka pendek serta latihan industri yang lebih tersusun dan berorientasikan keperluan semasa.