COALFIELDS Retail Park yang terletak di tengah-tengah Bandar Seri Coalfields tampil sebagai destinasi beli-belah dan gaya hidup yang menawarkan gabungan keperluan harian, makanan, hiburan serta aktiviti rekreasi kepada komuniti setempat.
Coalfields Retail Park dalam satu kenyataan berkata, pusat beli-belah berkonsep hibrid itu mempunyai 142 lot runcit dan dibangunkan di kawasan seluas 21 ekar, selain dihubungkan dengan taman seluas tujuh ekar yang dilengkapi tasik.
Menurutnya, dengan kadar penghunian sebanyak 90 peratus, Coalfields Retail Park turut menampilkan beberapa penyewa utama antaranya Village Grocer, Harborland, Serai Seafood, Bluefrost Ice Skating Rink, Skechers, Decathlon, KKV, Pickle Park, Panda Eyes, Harvey Norman dan Maybank.
“Pembangunan berkenaan dikelilingi komuniti perumahan yang berkembang pesat, terdiri daripada rumah teres, kluster, berkembar dan banglo, selain kediaman di bawah skim perumahan mampu milik kerajaan negeri.
“Kawasan sekitarnya turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hab komersial, sekolah awam dan antarabangsa, taman pusat seluas 50 ekar, stesen minyak serta kelab yang menyediakan kemudahan gaya hidup.
“Dari aspek akses, Coalfields Retail Park mempunyai hubungan strategik menerusi beberapa laluan utama termasuk Jalan Kuala Selangor, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR),” katanya pada Isnin.
Tambah Coalfields Retail Park, antara tarikan yang diketengahkan ialah Harborland yang merupakan salah satu taman permainan dalaman antarabangsa berskala besar, selain kedai Skechers berkeluasan 20,000 kaki persegi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara.
Jelasnya, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan, fesyen dan gaya hidup menerusi gabungan jenama tempatan seperti The Social, La Pane Pizza dan Andra by Gula Cakery serta jenama antarabangsa termasuk Fish & Co., Adidas dan Carlo Rino.
“Konsep pembangunan itu turut menekankan pengalaman dalaman dan luaran menerusi ruang berinspirasikan alam semula jadi, sekali gus mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk keluarga dan komuniti berkumpul serta beriadah,” ujarnya.
Coalfields Retail Park turut menawarkan gabungan penyewa berorientasikan keluarga, fesyen, gaya hidup, hiburan dan rekreasi yang menyasarkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.