MERSING – Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) meneruskan komitmen memulihara ekosistem marin dengan menanam dan memulihkan 300 fragmen karang menerusi Program Pemulihan Terumbu Karang di Pulau Aur, di sini.
Program tahun ketiga yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 September lalu itu menjadikan jumlah keseluruhan fragmen karang yang dipulihkan oleh Yayasan JCorp sejak tiga tahun lalu sebanyak 550 fragmen.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Datuk Mizan Yahya berkata, usaha pemuliharaan marin memerlukan komitmen berterusan dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ekosistem berkenaan terus terpelihara.
Beliau berkata, pemuliharaan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian dalam tempoh setahun, sebaliknya melalui usaha berterusan untuk melindungi dan memulihkan ekosistem dari semasa ke semasa.
“Setiap usaha yang dilaksanakan membawa kita selangkah lebih dekat kepada terumbu yang lebih sihat dan biodiversiti yang lebih kaya, sekali gus menyokong kelangsungan hidupan marin.
“Program ini menunjukkan bahawa usaha pemuliharaan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk rakan strategik, sukarelawan dan komuniti setempat,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Reef Check Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan terumbu karang, peningkatan kepelbagaian hidupan marin serta kelestarian ekosistem perairan Pulau Aur.
Selain pemulihan terumbu karang, program itu turut melibatkan aktiviti pembersihan dasar laut dan kawasan pantai serta pengalihan sulaiman duri mahkota (crown-of-thorns starfish) yang boleh mengancam terumbu karang.
Turut diadakan ialah Pentas Seni Johor, permainan pantai bersama komuniti, sesi pertukaran budaya dan sembang santai bagi meraikan keunikan warisan serta tradisi masyarakat Pulau Aur.
Yayasan JCorp turut menyalurkan sumbangan kepada komuniti pulau selain mengadakan sesi kesedaran pemuliharaan dan perkongsian ilmu bagi menggalakkan masyarakat setempat memainkan peranan aktif dalam melindungi serta memantau ekosistem marin.
Menurutnya, usaha itu menyasarkan kadar kelangsungan hidup terumbu karang sebanyak 70 peratus selepas tempoh 12 bulan, selain memperkasakan komuniti Pulau Aur sebagai penggerak utama pemuliharaan ekosistem marin.
Program Pemulihan Terumbu Karang merupakan antara inisiatif utama Yayasan JCorp di bawah bidang fokus alam sekitar, selain pemulihan hutan bakau, pemuliharaan rumput laut, pembersihan sungai dan kawasan pesisir pantai serta kempen kesedaran biodiversiti dan ekopelancongan berasaskan komuniti.