KLUANG - Seorang wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat bersama lelaki bujang di sebuah homestay di daerah ini, awal pagi, Selasa.
Pasangan berusia lingkungan 40-an dan 30-an itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam pemeriksaan kira-kira jam 1.05 pagi.
Dalam kenyataannya JAINJ memaklumkan, pemeriksaan secara rambang dan berkala itu dijalankan selepas penguat kuasa melakukan pemantauan di lokasi berkenaan dan mendapati beberapa kenderaan diletakkan berhampiran premis.
Menurutnya, penguat kuasa kemudian memeriksa beberapa bilik sebelum mengetuk pintu sebuah bilik yang disyaki berpenghuni berdasarkan penghawa dingin yang masih terpasang.
“Bagaimanapun, tiada sahutan diberikan pada awalnya walaupun pintu diketuk beberapa kali.
“Selepas hampir lima minit, pintu dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju,” katanya.
JAINJ memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam bilik itu menemukan seorang wanita sedang berbaring di atas katil.
"Penguatkuasa menemui seorang wanita sedang bergebor di atas katil dan penguat kuasa minta dia bangun. Wanita ini memakai baju tidur seksi tiada lengan dan bertali bahu nipis.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku bukan suami isteri.
“Wanita terbabit memaklumkan dia masih berstatus isteri orang, manakala lelaki berkenaan bujang. Kedua-duanya dipercayai bekerja di daerah ini," jelasnya.
JAINJ berkata, wanita itu turut mendakwa sedang berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.
Pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang syariah diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa agama untuk siasatan dan tindakan lanjut.