JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berstatus duda dan wanita yang mengaku janda ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Jaya di sini pada Sabtu.
JAINJ dalam kenyataan memaklumkan pasangan masing-masing berusia 41 dan 38 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan selepas pihak penguat kuasa menerima aduan awam.
“Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati rumah berkenaan dalam keadaan terang dengan beberapa motosikal kapcai diletakkan di kawasan berhampiran.
“Pemeriksaan di tingkat atas rumah itu membawa kepada penemuan pasangan berkenaan di sebuah bilik yang pintunya tertutup.
“Selepas beberapa kali ketukan dan salam diberikan, pintu bilik dibuka oleh lelaki terbabit sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Di dalam bilik itu, seorang wanita ditemui berada di atas tilam, manakala pemeriksaan lanjut mendapati bilik berkenaan tidak mempunyai katil, sebaliknya hanya dilengkapi tilam dan peralatan tidur,” katanya.
JAINJ menberitahu pasangan yang merupakan warga Indonesia itu kemudian mengaku bukan suami isteri, dengan lelaki terbabit bekerja sebagai buruh binaan, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai makan.
“Pemeriksaan di dua bilik lain di rumah sama pula menemui dua wanita warga Indonesia yang mendakwa menyewa bilik secara berasingan dan bekerja di kawasan berhampiran.
“Kedua-dua wanita itu memaklumkan tidak mengenali lelaki berkenaan serta mendakwa tidak sepatutnya ada lelaki berada di rumah berkenaan.
“Mereka turut mendakwa pernah menasihati wanita terbabit, namun teguran itu tidak diendahkan,” ujarnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 berkaitan kesalahan khalwat.