Polis buru lelaki tumbuk cermin kereta gara-gara pusingan U

Iklan
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki menumbuk cermin sisi kereta kerana membuat pusingan U di Taman Sentosa, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial selepas bertindak menumbuk cermin sebuah kereta beberapa kali di Taman Sentosa, di sini, pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki warga asing kira-kira jam 4.50 petang.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, kejadian itu turut tular di media sosial.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap pemandu kereta berkenaan yang membuat pusingan U di hadapan sebuah lori sehingga hampir melanggar kenderaan yang dinaikinya.

Iklan

"Semakan mendapati kejadian berlaku apabila suspek yang dipercayai warga tempatan turun dari bahagian penumpang lori sebelum menumbuk cermin kereta di bahagian pemandu beberapa kali.

"Akibat kejadian itu, kereta pengadu mengalami kerosakan apabila cermin sisi retak," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pemandu kereta berkenaan turut akan dikenakan tindakan mengikut Kaedah 13, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-218 2323.