Penyatuan ummah: Belajar daripada sejarah, bina kestabilan masa hadapan

Iklan
Pas dalam muktamar tahunannya turut membincangkan perkara yang melangkaui kepentingan partinya semata-mata.

SESUATU yang tidak boleh dinafikan lagi, Pas kini semakin terserlah berjiwa negarawan. Ketika kebanyakan parti yang berhimpun atau berkonvensyen sibuk mencari kesalahan pihak lain, Pas dalam Muktamar Tahunannya bukan sekadar bermuhasabah tentang perjalanan parti, tetapi turut membincangkan perkara yang melangkaui kepentingan partinya semata-mata.

Dalam keadaan politik Malaysia yang terus berhadapan dengan persaingan dan perpecahan, agenda penyatuan ummah yang dibawa dalam muktamar kali ini bukan retorik kosong, ia adalah keperluan yang mendesak untuk kestabilan negara.

Iklan
Iklan

Walaupun ada pihak melihat agenda penyatuan ini sebagai strategi untuk memperkukuh kuasa politik, Pas sendiri melihatnya jauh lebih besar daripada itu.

Pas melihat penyatuan ummah sebagai prasyarat kepada kestabilan politik negara yang telah lama terencat akibat perpecahan yang berpanjangan. Tanpa kestabilan politik, sukar untuk sesebuah kerajaan merancang pembangunan jangka panjang, memperkukuh ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat secara berkesan.

Iklan

Ini bukan sekadar pandangan ideologi, ini adalah kenyataan yang diakui oleh pengkaji politik dan sejarah di seluruh dunia.

Dalam kerangka tersebut, penyatuan Melayu-Islam perlu menjadi antara teras utama. Realiti politik menunjukkan masyarakat Melayu-Islam merupakan kelompok terbesar dalam negara, namun kekuatan majoriti ini boleh menjadi lemah apabila terlalu berpecah dari sudut politik.

Iklan

Perpecahan yang berpanjangan akhirnya membuka ruang kepada pertikaian terhadap perkara-perkara yang menyentuh kepentingan Melayu, kedudukan Islam dan asas-asas yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan. Namun penyatuan Melayu bukan bermaksud memusuhi bukan Melayu.

Melayu-Islam yang bersatu, yakin dan stabil seharusnya menjadi teras kepada pembinaan sebuah negara yang lebih aman dan adil kepada semua, termasuk kerjasama dengan masyarakat bukan Melayu serta parti-parti yang sederhana, menghormati Perlembagaan dan tidak membawa pendekatan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian negara.

Sejarah mengajar erti penyatuan

Sejarah pernah menunjukkan bahawa sesuatu yang kelihatan mustahil dalam politik boleh berlaku apabila pemimpin sanggup melihat kepentingan yang lebih besar. Pilihan Raya Umum 1969 menyaksikan Pas dan UMNO bertembung sengit.

Namun tragedi 13 Mei mengubah sepenuhnya landskap politik negara. Persoalannya ketika itu bukan lagi semata-mata siapa menang dan siapa kalah, tetapi bagaimana sebuah negara yang terluka dapat dibina kembali.

Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil alih kepimpinan negara melihat bahawa kestabilan memerlukan pengurangan permusuhan politik dan pembinaan kerjasama yang lebih luas.

Pada masa yang sama, Pas yang diketuai oleh Datuk Mohd Asri Muda mempunyai keberanian untuk membuka ruang rundingan walaupun kedua-dua parti mempunyai sejarah persaingan yang panjang.

Kedua-dua pemimpin ini memilih untuk melihat melepasi luka politik masing-masing dan ia mengubah lanskap politik negara. Rundingan membawa kepada pembentukan Kerajaan Campuran Pas-Perikatan pada tahun 1973 sebelum Pas menyertai Barisan Nasional pada tahun 1974.

Pas tidak meleburkan identiti atau prinsipnya dalam kerjasama tersebut yang dicari ialah titik persamaan pada perkara yang lebih besar daripada perbezaan parti.

Pilihan Raya Umum 1974 kemudiannya memperlihatkan kekuatan formula tersebut. BN di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak memperoleh kemenangan besar dengan 135 daripada 154 kerusi Parlimen yang dipertandingkan salah satu kemenangan paling besar dalam sejarah politik Malaysia.

Apabila kekuatan politik Melayu yang sebelumnya berpecah berjaya disatukan, imbangan politik negara turut berubah secara dramatik.

Penyatuan Bukan Sekadar Membahagikan Kerusi

Lebih penting, penyatuan ketika itu tidak hanya tertumpu kepada kemenangan pilihan raya atau pembahagian jawatan semata-mata.

Pemimpin Pas diberikan tanggungjawab dalam pelbagai bidang pentadbiran merangkumi pembangunan tanah dan wilayah, kerajaan tempatan, buruh, kesihatan, pertanian dan beberapa portfolio lain.

Dalam tempoh kerjasama tersebut, turut berlaku perkembangan yang memperluas kedudukan Islam dalam ruang pentadbiran dan masyarakat antaranya penyiaran azan dan bacaan al-Quran melalui media kerajaan, usaha menghentikan hidangan arak dalam majlis rasmi, sekatan promosi perjudian melalui media, serta pengukuhan institusi dakwah dan pendidikan Islam.

YADIM ditubuhkan pada tahun 1974, struktur pentadbiran agama di Wilayah Persekutuan diperkukuh dan pendidikan Islam terus berkembang. Apabila tuntutan perjuangan bertemu dengan kuasa untuk melaksanakan dasar, lebih banyak ruang terbuka untuk menterjemahkan cita-cita kepada pentadbiran yang nyata.

Jangan ulangi kegagalan muafakat

Namun penyatuan yang dibina dengan susah payah itu akhirnya retak. Krisis dalaman, campur tangan dalam urusan rakan, perubahan kepimpinan dan kehilangan kepercayaan membawa kepada perpisahan pada tahun 1977.

Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978 memperlihatkan betapa mahalnya harga perpecahan kepada Pas yang terpaksa menghadapi pilihan raya tanpa kerjasama dengan UMNO.

Pengalaman yang lebih dekat ialah Muafakat Nasional. Harapan besar pernah lahir daripada penyatuan Pas dan UMNO selepas PRU14.

Namun ia tidak dapat dipertahankan sebagaimana yang diharapkan apabila kepentingan politik berubah dan kepercayaan mula terhakis.

Kedua-dua episod sejarah ini mengajar satu pelajaran yang sama: penyatuan Melayu antara Pas dengan UMNO tidak boleh dibina hanya kerana tuntutan pilihan raya, kemudian terhenti apabila berlaku perbezaan kepentingan. Ia mesti dibina melalui kepercayaan, kejujuran dan sikap saling menghormati yang konsisten.

Perbezaan pasti ada. Pas tidak perlu menjadi UMNO dan UMNO tidak perlu menjadi Pas. Tetapi kedua-duanya perlu belajar membezakan antara perkara prinsip yang tidak boleh dikompromikan dengan perkara politik yang masih boleh dirundingkan.

Di sinilah teladan Tun Abdul Razak dan Mohd Asri Muda mempunyai makna yang besar — mereka datang daripada dua parti yang bersaing, tetapi mempunyai keberanian untuk duduk semeja apabila keadaan negara menuntutnya.

Mereka bertanya soalan yang lebih besar: apakah keadaan umat dan negara sepuluh atau dua puluh tahun akan datang jika perpecahan ini diteruskan?

Perlu dihidupkan kembali

Pas perlu terus membuka pintu penyatuan kepada UMNO dan mana-mana kekuatan Melayu-Islam yang bersedia mencari titik persamaan.

Pada masa yang sama, pintu kerjasama juga perlu dibuka kepada bukan Melayu dan mana-mana pihak yang sederhana, menghormati kedudukan Islam, Perlembagaan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Penyatuan bukan bererti bersetuju dalam semua perkara. Berlapang dada bukan bererti menggadaikan prinsip. Bekerjasama bukan bererti kehilangan identiti.

ALLAH SWT mengingatkan:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

"Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, nanti kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal: 46)

Maka, inilah antara muhasabah terbesar yang perlu dibawa pulang oleh setiap pimpinan dan ahli dari Muktamar Pas tahun ini.

Sejarah telah menunjukkan bahawa penyatuan mampu menghasilkan kestabilan, memperkukuh kuasa politik dan membuka ruang lebih luas kepada pelaksanaan agenda Islam. Tetapi sejarah juga mengajar bahawa membina penyatuan itu sukar dan mempertahankannya jauh lebih sukar lagi.

Malaysia hari ini tidak memerlukan lebih banyak tembok politik. Negara memerlukan jambatan yang mempertemukan kekuatan yang masih berkongsi asas dan cita-cita bersama.

Jika Pas benar-benar mahu memimpin perjalanan menuju Putrajaya, maka perjalanan itu bukan sekadar perjalanan menambah kerusi.

Ia mesti menjadi perjalanan menyatukan ummah, mengembalikan kestabilan politik dan membina sebuah Malaysia yang aman, adil serta sejahtera untuk seluruh rakyatnya.

Kerana memimpin penyatuan memerlukan jiwa yang jauh lebih besar daripada sekadar memenangi pilihan raya.

*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi), Yayasan Strategik Lestari